3 OKT: Hospital Medan kedua yang dikendalikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)di Sibu, Sarawak dijangka beroperasi sepenuhnya 15 Oktober ini.
Tentera Darat Malaysia (TDM) menerusi Rejimen 510 Askar Wataniah sedang membina hospital itu yang dijangka siap 7 Oktober ini.
Menurut satu kenyataan ATM, penubuhan Hospital Medan itu adalah bagi membantu pihak Hospital Sibu menguruskan pesakit bukan kes COVID-19, sekali gus akan membantu meringankan tugas staf perubatan di Hospital Sibu.
Hospital medan yang mempunyai 100 katil itu diketuai Lt Kolonel Ahmad Halim Mohd Rosli selaku Ketua Tim Persiapan Hospital Medan Sibu. Jurucakap Sel Perhubungan Raya, Markas 1 Divisyen Infantri berkata, apabila beroperasi sepenuhnya, hospital medan itu akan diaturgerak oleh staf perubatan dari 1 Batalion Ubat.
Menurutnya, pembukaan hospital medan itu adalah lanjutan mesyuarat yang diadakan ATM bersama agensi kerajaan seperti Pejabat Residen Sibu, Pengarah Hospital Sibu dan Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Sibu baru-baru ini.
“Hasil mesyuarat bagi mencari penyelesaian kepadatan pesakit di Hospital Sibu itu, ATM sekali lagi meneruskan khidmat tugas sekundernya dalam menyediakan Hospital Medan ATM di Sibu selepas menubuhkan Hospital Medan ATM di Kapit sebelum ini.
“Penubuhan hospital medan itu penting bagi menangani penularan wabak pandemik COVID-19 yang semakin meningkat demi memelihara kesejahteraan rakyat Sarawak,” ujarnya.
Selain itu katanya, pembukaan hospital medan itu selaras dengan Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 dalam tonggak kelima iaitu Peningkatan Hubungan Tentera Darat dengan masyarakat awam.