3 OKT : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru rakyat di negara ini agar menjadikan perbezaan yang wujud sebagai satu kelebihan dan jangan menganggap ia sebagai satu kelemahan.
Katanya, perbezaan yang ada dalam negara ini perlu diraikan dan jangan perkara tersebut dijadikan halangan untuk rakyat terus bersatu padu.
“Saya berpandangan, perbezaan itu sepatutnya menjadi kekuatan kepada kita. Jangan perbezaan menjadi halangan kepada kita untuk bersatu atau berpadu.
“Begitu juga dengan maruah rakyat, dalam konteks Keluarga Malaysia, ia juga perlu dijaga serta tidak boleh dicemari oleh sesiapa pun.
“Sebab itu konsep Keluarga Malaysia yang saya sebut dari awal lagi, seumpama kita dengan keluarga kita, tentulah jadi keutamaan kita untuk lindungi keluarga kita, bantu keluarga kita. Kita tidak akan biarkan keluarga kita susah, pasti kita akan bantu,” tegasnya.
Perdana Menteri berkata demikian dalam program Wawancara Khas Eksklusif Bersama Perdana Menteri, yang disiarkan di Astro AWANI, TV3 dan RTM pada Ahad malam.
Berhubung RMK-12, Ismail Sabri berkata, ia menerapkan semangat Keluarga Malaysia terutamanya dalam menyediakan akses dan peluang pendidikan, ekonomi, dan pembangunan modal insan.
Tambah beliau, RMKe-12 juga merangkumi semua kaum dan tidak ada satu pun ketinggalan.
“Bagaimanapun, fokus RMKe-12 sudah semestinya lebih tertumpu ke arah memperbaiki kualiti dan kesejahteraan hidup kumpulan miskin tegar, B40 serta M40,” ujarnya.
“Fokus khusus untuk Keluarga Malaysia, ada fokus tentang membantu meningkatkan ekonomi Bumiputera, terutamanya melibatkan ekonomi, termasuk akses dan peluang pendidikan, modal insan, dan sebagainya.
“Kerajaan melalui RMKe-12 juga akan memastikan kesejahteraan hidup masyarakat Orang Asli dapat dipertingkatkan, melalui pendidikan dan penambahbaikan infrastruktur di perkampungan mereka,” jelasnya.
Bagi Sabah dan Sarawak, Perdana Menteri berkata, RMKe-12 menyebut jelas program khas yang telah digariskan, menyentuh kaum dan etnik di dua wilayah tersebut secara khusus.
“Kita sebut bukan setakat Sabah dan Sarawak, tapi fokus kepada etnik itu sendiri Di Sabah kita ada Kadazan, Dusun, Murut. Dan di Sarawak kita sebut tentang kaum Iban, Bidayuh, Melanau semua kita sebut. Dan kita ada program khusus bantu mereka tingkatkan ekonomi,” katanya lagi.
Bagi masyarakat Cina pula, Ismail Sabri berkata, ada keperluan khusus untuk pembangunan sosioekonomi, terutamanya di Kampung-kampung Baru Cina, kerana kemiskinan di kawasan berkenaan masih tinggi.
Antara program yang digariskan, kata beliau lagi, termasuklah memperkenalkan skim pinjaman khas untuk penduduk di kampung-kampung baru Cina, serta penambahbaikan infra di kawasan berkenaan.
Begitu juga dengan masyarakat India, yang mana beliau menjelaskan, di dalam RMKe-12 terdapat keperluan untuk pembangunan dan pemberian bantuan khusus untuk meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi kaum tersebut.
“Dari segi kaum, kita tak tinggalkan satupun, etnik. RMKe-12 akan menumpukan kepada mereka, dari segi pembangunan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup mereka.
“RMKe-12 ini, mencakupi semua. Tidak ada siapa pun (tertinggal). Dengan tagline saya sebutkan – tidak ada sesiapa akan ketinggalan dalam negara kita, terutamanya dalam Rancangan RMK-12 ini,” katanya lagi.