3 OKT : Persaingan sesama sendiri di antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hanya akan memecahkan lagi undi orang Melayu.
Kubu kuat mana-mana parti Melayu juga berisiko gagal dipertahankan, kerana akan berlaku pertembungan lebih tiga penjuru di kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).
Penganalisis Politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, jika perkara itu berlaku, ia bukan saja tidak mendatangkan keuntungan kepada parti itu sendiri, malah memberi kelebihan kepada parti pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH).
“Dari segi jangkaannya, begitulah disebabkan tidak ada kerjasama dalam gabungan Melayu. Jika BERSATU dan UMNO berpecah, undi Melayu juga akan berpecah dan ini memberi kelebihan kepada pembangkang kerana setakat ini undi mereka tidak lagi berpecah.
“Kalau PH meletakkan seorang calon di satu-satu kawasan dalam PRU nanti, maka undi pembangkang akan diberikan secara solid kepada calon mereka, berbanding dengan undi Melayu yang berpecah.
“Inilah kesannya bila parti politik Melayu berpecah, membuka peluang kemenangan buat pembangkang meraih undi Melayu,” katanya ketika dihubungi PNBBC Portal, hari ini.
Dalam pada itu, Hussain memaklumkan pemimpin bagi dua parti Melayu besar itu perlu mengambil iktibar daripada kekalahan yang berlaku pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke- 14 (PRU-14) yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan yang teruk.
Justeru, beliau yang juga merupakan Ketua Jabatan Hubungan Antarabangsa, UniSZA menyeru agar semua pimpinan BERSATU, UMNO dan parti-parti yang mendokong Perikatan Nasional (PN) berjiwa besar dalam mengutamakan rakyat khususnya undi di kalangan orang Melayu.
“Rakyat sebenarnya tiada masalah, rakyat ikut pemimpin sahaja. Sekarang ini, dekat mana kita boleh lihat kelemahan, di sini rakyat yang bermasalah atau pemimpin politik bermasalah. Pemimpin politik sekaran ini kena bijak.
“Kita tahu duduk di dalam satu parti ini, sentimen ketidakpuashatian itu ada namun kalau takkan kerana seorang atau beberapa kalangan pemimpin lain, nak digadaikan undi Melayu yang cukup besar di negara ini,”katanya.
Sementara itu, ditanya jika BERSATU dan UMNO perlu bersama bagi memastikan survival politik Melayu terus bertahan di negara ini, Hussain menegaskan, itu perkara yang seharusnya dilakukan pemimpin bagi memastikan politik di negara ini dikuasai oleh kaum Melayu.
“Itu sewajarnya, pemimpin Melayu perlu bersama. Itulah harapan dan impian rakyat Malaysia khususnya bangsa Melayu. Jadi, pemimpin ini kena bermuhasabah. Jangan disebabkan ego, akhir sekali kaum Melayu berpecah,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH.