4 OKT: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu meringankan beban golongan berpendapatan rendah untuk membayar sewa rumah, khususnya penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang terkesan dengan pandemik COVID-19.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib, berkata antara inisiatif dilaksanakan KPKT dengan memberi
pengecualian pembayaran sewa selama tujuh bulan dari Mac hingga September 2020 bagi 3,636 unit PPR Disewa dan Rumah Transit di bawah pengurusan KPKT iaitu PPR Lembah Subang 1 (3,004 unit rumah) dan Rumah Transit Bukit Jalil (632 unit rumah).
Ismail berkata kementerian juga memberikan penangguhan pembayaran sewa selama 21 bulan (Mac 2020 – Disember 2021) bagi PPR Sewa Untuk Dimiliki (RTO) di bawah pengurusan KPKT yang melibatkan 10 projek PPR (4,650 unit).
Katanya, ini termasuklah PPR Sentul Murni (500 unit); PPR Lembah Subang 2 (842 unit); PPR Kampung Hassan (176 unit); PPR Ladang Siliau, Port Dickson (113 unit); PPR Tok Suboh (231 unit); PPR Amanjaya (208 unit); PPR Kota Setar (500 unit); PPR Sinar Intan 3 (80 unit); PPR Gua Musang (1,000 unit) dan PPR Kota Bharu (1,000 unit).
“Pengecualian dan penangguhan bayaran sewa dan bayaran bulanan bagi perumahan awam dan PPR lain yang di bawah pengurusan pihak berkuasa negeri (PBN)/ pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah tertakluk kepada budi bicara di peringkat PBN/PBT agensi berkenaan.
“Kerajaan melalui KPKT juga mencadangkan skim bantuan bayaran rumah sewa (rental voucher) bagi membantu golongan B40 yang terbeban dengan pembiayaan sewaan rumah khususnya semasa pandemik COVID-19. Skim ini sedang diperhalusi dan akan diumumkan sebaik sahaja telah mendapat kelulusan kerajaan,” katanya ketika menjawab soalan di sesi jawab lisan di Parlimen di sini, sebentar tadi.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen PH-Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew, meminta menteri berkenaan menyatakan apakah kerajaan berhasrat untuk membantu golongan berpendapatan rendah untuk membayar kadar sewa rumah mereka memandangkan sudah terlalu ramai orang tidak mampu membayarnya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula Mac lalu.
Mengulas lanjut, Ismail berkata KPKT juga sedang meneliti inisiatif baharu untuk terus membantu mereka yang terkesan dengan pandemik COVID-19 melalui program-program seperti Rumah IKRAM.
Beliau berkata Rumah IKRAM ialah Inisiatif Kediaman Rumah Keluarga Malaysia (IKRAM) bertujuan untuk menawarkan kediaman baharu (1,000 unit) kepada mereka yang telah kehilangan tempat tinggal disebabkan oleh sumber pendapatan yang terjejas.
“Kementerian juga memperkenalkan Jendela PPR Kerajaan akan menyediakan Pusat Internet Komuniti di PPR terpilih bagi memberikan capaian internet percuma untuk merancakkan industri perniagaan dalam talian.
“KPKT juga melaksanakan program PPR Selamat Pengiktirafan kepada PPR yang penghuninya telah mencapai kadar vaksinasi penuh (80% dan ke atas,” katanya.