4 OKT : Pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyifatkan dakwaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung ramai kepimpinan BERSATU akan keluar parti hanyalah propaganda politik semata-mata.
Menurut Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, hakikatnya di sebalik dakwaan itu, sokongan terhadap BERSATU terus melonjak terutama dengan penubuhan sayap baharu untuk ahli bersekutu.
“Itu mungkin persepsi beliau (Ahmad Zahid) sahaja kerana masing-masing mempunyai hak untuk masuk mana-mana parti politik tanpa disekat oleh sesiapa.
“Kadang-kadang, cara sebegini merupakan strategi dan propaganda masing-masing untuk menarik orang bersama mereka, namun bagi saya, apa yang penting rakyat memahami dan benar-benar menghayati perjuangan BERSATU.
“Berdasarkan rekod keahlian terkini, ahli BERSATU mencatatkan peningkatan ketara kepada 520,000 orang berbanding tahun lalu hanya seramai lebih 300,000 ahli,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan pecah tanah pembinaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini hari ini.
Baru-baru ini, Ahmad Zahid mengalu-alukan ‘kepulangan’ bekas Ketua Bersatu Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Dr. Erwan Mohd Tahir di samping lebih 120 ahli bahagian tersebut yang mengumumkan keluar parti untuk kembali ke pangkuan UMNO.
Ahmad Zahid mendakwa lebih ramai kepemimpinan Bersatu merisik peluang kembali kepada UMNO dan setiap permohonan tersebut akan diperhalusinya dengan berlapang dada dan jiwa yang besar.