4 OKT: Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka hari ini mendakwa mereka sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan kerajaan negeri.
Mereka adalah ADUN Barisan Nasional (BN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron, ADUN BN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan, ADUN Bebas Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan ADUN BERSATU Telok Mas, Datuk Noor.
Pengumuman yang diketuai Idris dibuat dalam satu sidang media tergempar di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah di Melaka, hari ini.
“Saya Idris Haron, ADUN Sungai Udang bersama-sama rakan-rakan, Datuk Nor Azman, Datuk Norhizam, Datuk Noor Effandi mengumumkan telah hilang kepercayaan kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan seluruh kepimpinan kerajaan negeri hari ini.
“Kami berempat telah serah surat ketidakpercayaan kami dan menarik balik sokongan kepada Datuk Seri Sulaiman yang telah dihantar ke Pejabat Ketua Menteri pagi tadi,” katanya.
Dengan ini, Sulaiman hanya mempunyai 13 kerusi di DUN Melaka berbanding Pakatan Harapan yang memiliki 11 kerusi.
DUN Melaka mempunyai keseluruhan 28 kerusi yang membuktikan Sulaiman tidak lagi mempunyai majoriti mudah di DUN.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Wan Saiful Wan Jan memaklumkan partinya menerima maklumat mengenai perkara tersebut.
“Pimpinan tertinggi BERSATU akan membincangkan perkembangan ini dengan segera dan kenyataan rasmi akan dikeluarkan oleh parti,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari, berkata keutamaan partinya pada masa ini adalah untuk memastikan kestabilan politik di negeri Melaka.
“Ini bagi memastikan pentadbiran yang cekap, bertanggungjawab dan telus dapat direalisasikan demi kesejahteraan rakyat.
“Sehubungan itu, 11 ADUN Pakatan Harapan bersama empat ADUN Bebas ini berhasrat untuk mengadakan pertemuan dengan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka bagi membincangkan tentang usaha yang boleh diambil.
“Ini perlu dalam memastikan kestabilan politik negeri dan kesinambungan pentadbiran kerajaan akan dapat diteruskan,” katanya.