4 OKT: Datuk Seri Hamzah Zainudin menyatakan kontroversi isu perkauman membabitkan Naib Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Pasir Puteh, Borhanuddin Che Rahim dianggap sudah selesai.
Ia susulan permohonan maaf dan peletakan jawatan pemimpin berkenaan.
Setiausaha Agung BERSATU itu berkata, tiada sebarang tindakan akan diambil terhadap Borhanuddin namun beliau berdepan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berikutan laporan polis yang dibuat beberapa pihak terhadapnya.
“Saya rasa amat dukacita apabila seorang pemimpin politik bercakap tentang perkauman, tetapi dia sudah pun meminta maaf dan sanggup meletakkan jawatan, jadi kita tutup kes ini.
“Biarlah kes ini jadi pengajaran kepada yang lain cuma di pihak parti, saya menganggap ia selesai,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan pecah tanah pembinaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu hari ini.
Yang hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Md. Isa.
Semalam, Borhanuddin memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia berhubung status perkauman terhadap pemain badminton negara, S. Kisona sekali gus sukarela melepaskan jawatannya demi menjaga nama baik parti.