4 OKT: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya negeri (PRN) diadakan dan memberi peluang rakyat memilih kerajaan baharu kelak.
Ahli Parlimen BN Bagan Datuk memaklumkan beliau terbuka dengan tumbangnya kerajaan Barisan Nasional (BN) di Melaka hari ini.
“Tidak mengapa kehilangan kerajaan negeri dikuasai parti saya. Tapi tunggulah…saya fikir elok diadakan PRN supaya DUN Melaka dibubarkan.
“Kita beri mandat semula kepada rakyat untuk pilih mana kerajaan terbaik mentadbir negeri dan negara kita, insya-Allah,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke-12 di Dewan Rakyat, Kuala lumpur,hari ini.
Terdahulu, empat ADUN Melaka hari ini mendakwa mereka sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan kerajaan negeri .
Mereka adalah ADUN Barisan Nasional (BN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron, ADUN BN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan, ADUN Bebas Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan ADUN BERSATU Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad.