4 OKT : Sebuah pusat operasi kumpulan Daesh di utara Kabul berjaya dimusnahkan oleh Taliban semalam, beberapa jam selepas serangan letupan di pintu masuk sebuah masjid yang disyaki angkara kumpulan pengganas itu.
Menurut ketua jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid, pusat Daesh berkenaan musnah sepenuhnya hasil operasi sangat tuntas dan berjaya itu dan kesemua ahli mereka yang berada di dalamnya juga terbunuh.
Operasi terbabit dilancarkan dalam tempoh beberapa jam selepas insiden serangan yang menyasarkan majlis solat dan doa untuk arwah ibu Mujahid yang meninggal dunia pada minggu lalu.
Seorang pegawai suruhanjaya kebudayaan kerajaan yang enggan dikenali memberitahu, lima orang maut dan 11 lagi cedera membabitkan orang awam serta pejuang Taliban dalam kejadian itu.
Seramai tiga individu telah ditahan berhubung insiden letupan itu.
Menurut pegawai itu lagi, bahan letupan dipasang di pintu masuk masjid terbabit dan diletupkan ketika tetamu mahu beredar selepas mengucapkan takziah kepada Mujahid dan keluarganya.