4 OKT : Istana Melaka mengesahkan masih belum menerima surat daripada mana-mana parti politik untuk mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam berhubung dakwaan kerajaan negeri sedia ada telah hilang majoriti untuk mentadbir negeri itu.
Setiausaha Khas Yang di-Pertua Negeri Melaka, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, buat masa ini, Tun Mohd Ali sedang menjalani kuarantin kendiri selama dua minggu bermula 30 September lepas kerana menjadi kontak rapat kepada individu positif Covid-19.
“Setakat ini tiada surat janji untuk saya persembahkan kepada Tun Mohd Ali,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini
Terdahulu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari sebelum ini dilaporkan sebagai berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam dalam tempoh terdekat bagi menghantar surat memaklumkan bahawa kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali telah hilang majoriti.
Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka hari ini mendakwa mereka sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan kerajaan negeri .
Mereka adalah ADUN Barisan Nasional (BN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron, ADUN BN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan, ADUN Bebas Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan ADUN BERSATU Telok Mas, Datuk Noor.