5 OKT: Perkhidmatan media sosial Facebook, WhatsApp dan Instagram yang mengalami gangguan selama hampir enam akhirnya berjaya dipulihkan.
Facebook melaporkan ketiga-tiga perkhidmatan itu tidak dapat diakses melalui web atau aplikasi telefon pintar.
Downdetector, yang mengesan masalah itu, berkata ia adalah kegagalan sistem terbesar pernah berlaku dengan 10.6 juta laporan masalah di seluruh dunia.
Kali terakhir Facebook mengalami gangguan pada tahun 2019.
Ketika itu, Facebook dan aplikasinya yang lain tidak dapat diakses di seluruh dunia dalam tempoh lebih 14 jam.
Sementara itu, kekayaan peribadi Mark Zuckerberg susut lebih daripada AS$6 bilion (RM25 bilion) dalam masa hanya beberapa jam, menyebabkan kedudukannya dalam senarai manusia terkaya di dunia jatuh satu anak tangga.
Ia berlaku selepas seorang pemberi maklumat tampil ke depan manakala gangguan pula menyebabkan produk utama Facebook Inc tidak dapat berfungsi dalam talian.
Penjualan besar-besaran menyebabkan saham gergasi media sosial itu menjunam 4.9 peratus, menambah kepada penurunan kira-kira 15 peratus sejak pertengahan September.
Penurunan harga saham itu menyebabkan kekayaan Zuckerberg jatuh kepada AS$121.6 bilion (RM507.8 bilion), meletakkannya di bawah Bill Gates ke tempat kelima dalam Bloomberg Billionaires Index.
Kekayaannya susut daripada hampir AS$140 bilion (RM584.7 bilion) hanya dalam masa beberapa minggu, demikian menurut indeks berkenaan.