5 OKT: Kementerian Pendidikan (KPM) tetap dengan pendirian untuk memindahkan guru yang enggan menerima vaksin COVID-19 sebaik sesi persekolahan bersemuka dibuka secara berperingkat, bermula semalam.
Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata langkah berkenaan perlu dibuat bagi memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah kelak tidak terjejas.
Beliau berkata guru juga sebagai penjawat awam, harus akur kepada ketetapan Jabatan Perkhidmatan Aawam (JPA) mengenai syarat vaksinasi lengkap pada pegawai perkhidmatan awam.
“Syarat ditetapkan, pegawai perkhidmatan awam dikehendaki segera melengkapkan vaksinasi sebelum 1 November ini.
“Maka dalam tempoh itu, pegawai yang belum divaksin, mereka boleh hadir secara ‘walk-in’ ke pusat pemberian vaksin yang disediakan kerajaan.
“Bagi guru yang enggan divaksin tanpa dapat pengecualian pegawai perubatan kerajaan dan menyebabkan gangguan operasi sekolah, tindakan untuk memindahkan guru terpaksa dilaksana untuk memastikan PdP murid tidak terjejas,” katanya ketika menjawab soalan di sesi jawab lisan di Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen BN-Jempol, Datuk Salim Sharif yang meminta menteri berkenaan memberi penjelasan sama ada KPM akan meneruskan tindakan menukar guru yang enggan divaksinasi ke negeri lain.
Sebelum ini, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, mengumumkan, terdapat 2,500 guru enggan divaksinkan di negara ini dan pihaknya akan terus mengadakan sesi libat urus bersama mereka.
Menjawab soalan asal Chang Lih Kang (PH-Tanjong Malim), Hang Soon berkata, sehingga semalam, seramai 388,897 guru atau 94 peratus sudah lengkap divaksin
“Kementerian sentiasa bekerjasama rapat dengan pasukan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi memastikan kadar vaksinasi warga sekolah termasuk dalam kalangan guru dapat ditingkatkan,” katanya.