5 OKT: Kedudukan hutang kerajaan adalah kekal terkawal biarpun pinjaman dibuat bagi membiayai pakej bantuan dan projek pembangunan bagi menyokong objektif Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah berkata pada akhir Ogos 2021, hutang negara mencatat RM965.3 bilion atau 63.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Shahar berkata hutang statutori yang merangkumi instrumen Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan MITB (Bil Perbendaharaan Islam Malaysia) mencatatkan 59.2 peratus daripada KDNK sehingga Ogos 2021.
Beliau berkata jumlah berkenaan adalah masih berada di bawah 60 peratus daripada KDNK yang telah ditetapkan.
Katanya, perbelanjaan yang dilakukan kerajaan sudah pasti memberi impak berganda kepada ekonomi rakyat.
“Bagaimanapun, beberapa langkah akan diambil untuk meringankan beban hutang kerajaan termasuk melaksanakan reformasi fiskal termasuk melalui Akta Tanggungjawab Fiskal dan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana untuk memacu langkah konsolidasi fiskal pasca krisis.
“(Langkah itu merangkumi) Mengkaji dan menambah baik sistem percukaian sedia ada, memperluaskan asas hasil, memanfaatkan potensi sektor tidak formal, mengurangkan amalan kurang lapor dan isytihar, mengurangkan ketirisan cukai serta menambah baik pentadbiran cukai,” katanya pada sesi penggulungan RMKe-12 di Parlimen hari ini.
Terdahulu, Shahar berkata keutamaan Kerajaan, pada masa ini, adalah untuk memastikan ekonomi negara kembali pulih daripada krisis pandemik COVID-19 dan semua sektor ekonomi dapat dibuka semula dengan meningkatkan kapasiti kesihatan awam, memelihara kebajikan rakyat dan kelangsungan perniagaan.
Berikutan itu Shahar berkata Kerajaan membuat pinjaman bagi membiayai pakej-pakej bantuan ini selain projek pembangunan bagi menyokong objektif RMKe-12.
Beliau berkata sekiranya kerajaan menyekat perbelanjaan bagi pakej-pakej ini lebih awal, dikhuatiri proses pemulihan ekonomi akan terjejas.
“Kedudukan hutang Kerajaan Persekutuan pada masa ini kekal terkawal, iaitu pada akhir Ogos 2021, mencatat 965.3 bilion ringgit atau 63.3% daripada KDNK, manakala hutang statutori yang merangkumi instrumen MGS, MGII dan MITB mencatat 59.2% daripada KDNK sehingga Ogos 2021, masih di bawah had 60% daripada KDNK yang ditetapkan.
“Oleh itu, antara langkah untuk meringankan beban hutang dan bayaran khidmat hutang, Kerajaan Persekutuan perlu memastikan perbelanjaan memberi impak berganda kepada ekonomi dan rakyat. Dengan pengukuhan dan pemulihan kembali ekonomi, hasil Kerajaan juga akan kembali meningkat dan ini akan memberi ruang fiskal kepada kerajaan,” katanya.
Katanya, kerajaan akan melaksanakan reformasi fiskal termasuk cadangan penggubalan Akta Tanggungjawab Fiskal dan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana untuk memacu langkah konsolidasi fiskal pasca krisis.
“Inisiatif ini meliputi langkah rasionalisasi dan meningkatkan kecekapan perbelanjaan melalui kajian semula perbelanjaan awam atau dengan izin, Public Expenditure Review, dalam mengukuhkan kedudukan kewangan dan sebagai usaha Kerajaan membina semula ruang fiskal,” katanya.