5 OKT: Mesyuarat Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), malam tadi, memutuskan supaya jumlah pengeluaran petroleum ditingkatkan kepada 400,000 tong sehari bagi menstabilkan semula komoditi berkenaan di pasaran global.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata tindakan berkenaan akan berlangsung selama beberapa bulan akan datang diharap dapat menstabilkan harga komoditi berkenaan yang kini mencecah sehingga AS$80 setong.
“Kita sedia maklum harga petroleum di pasaran dunia kini sudah meningkat sehingga AS$80 setong. Jadi Mesyuarat OPEC yang saya hadiri, malam tadi memutuskan supaya kita meningkatkan pengeluar petroleum kepada 400,000 tong sehari bagi menstabilkan harga minyak mentah di pasaran global.
“Ini penting kerana pada 1 Oktober lalu harga minyak mentah di pasaran global kini mencecah AS$80. Seperti kita sedia maklum kerana menetapkan bahawa harga maksimum diesel RM2.15 dan had maksimum petrol RON95 ialah RM2.05 per liter.
“Malah, kerajaan sentiasa mengkaji perkara ini dengan mengambil kira pelbagai aspek bagi mengurangkan beban pengguna di Malaysia,” katanya ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan di sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Parlimen hari ini.
Mustapa berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan oleh Ahli Parlimen PH-Bukit Bendera, Wong Hon Wai yang meminta Perdana Menteri memberikan penjelasan mengenai isu rasionalisasi harga petrol berikutan peningkatan harga komoditi berkenaan yang kini mencecah AS$80 setong.
Terdahulu, Mustapa berkata Unit Perancang Ekonomi, Kementerian Alam Sekitar dan Air dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) bersama beberapa pihak berkepentingan yang lain sedang merangka Dasar Tenaga Negara (2021 – 2040).
Beliau berkata dasar berkenaan bertujuan meningkatkan daya tahan ekonomi dan jaminan bekalan tenaga, mencapai kesaksamaan dan keadilan sosial, serta memastikan kelestarian alam sekitar.
Mustapa berkata kerajaan melalui Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri; KeTSA dan agensi seperti PETRONAS, Suruhanjaya Tenaga, dan Tenaga Nasional Berhad, sentiasa melaksanakan langkah yang bersesuaian bagi memastikan sekuriti tenaga negara adalah terjamin pada setiap masa.
Beliau berkata jumlah bekalan tenaga di Malaysia disumbangkan oleh sumber iaitu 41 peratus gas asli; 25.8 peratus minyak mentah; 22.3 peratus arang batu; dan 6.2 peratus daripada hidro dan lain-lain sumber tenaga boleh baharu.
“Alhamdulillah Negara kita berada dalam keadaan yang baik kerana sumber penjanaan elektrik negara telah berjaya mempelbagaikan, iaitu 47 peratus arang batu; 41 peratus gas asli; dan 12 peratus tenaga boleh baharu termasuk hidro.
“Selain itu, rizab margin kapasiti terpasang elektrik di Semenanjung Malaysia adalah tinggi iaitu sebanyak 38 peratus. Kapasiti terpasang adalah kira-kira sebanyak 27,000 megawatt berbanding permintaan maksimum sebanyak kira-kira 19,000 megawatt,” katanya.