6 OKT: ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee mengesahkan 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) Melaka akan mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah esok.
Menurut beliau menerusi satu kenyataan hari ini, kesemua mereka akan ke Istana Negara untuk mengadap Al-Sultan Abdullah bagi menyelesaikan krisis pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
“Cadangkan menghadap Agong ini disuarakan Datuk Seri Idris Haron. Ia dipersetujui semua pihak. Esok kami akan menaiki bas bertolak ke Istana Negara,” ujarnya.
Norhizam sebelum ini meluahkan ketidakwajaran keputusan pembubaran DUN Melaka memandangkan dia bersama tiga lagi ADUN dan 11 ADUN daripada PH masih belum menerima sebarang maklum balas daripada pejabat Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam atau Istana Melaka.
Selain itu, beliau mendakwa terdapat ‘double standard’ dalam keputusan dibuat itu walaupun pihaknya sudah membentuk majoriti secara fizikal.
Menurutnya, pengisytiharan pembubaran DUN secara tergesa-gesa semalam bertentangan dengan apa yang diamalkan di pentadbiran Pusat oleh Agong.
“Di peringkat Pusat, sebelum membuat keputusan, baginda mendapatkan nasihat daripada semua pihak termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hakim dan peguam negara serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebelum satu keputusan dibuat demi kesejahteraan rakyat serta kepentingan negara,” katanya.
Katanya lagi, situasi di Melaka juga tidak boleh disamakan dengan Sarawak memandangkan Kerajaan Sarawak ketika ini masih mempunyai majoriti, tetapi di Melaka kerajaan sudah tumbang dan hilang majoriti.
“Adalah tidak adil untuk lantik kerajaan yang sudah tumbang sebagai ‘care taker’ sementara menanti keputusan SPR melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) atau pengisytiharan darurat untuk dilaksanakan,” tegasnya.