6 OKT: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menolak usul pembangkang untuk membahaskan laporan Pandora Papers yang mendedahkan ratusan pemimpin dunia, ahli politik, hartawan, selebriti, pemimpin agama dan pengedar dadah menyembunyikan wang dan pelaburan mereka.
Azhar ketika mengumumkan perkara itu menjelaskan, biarpun usul itu penting dan berkepentingan awam, namun ia masih boleh dirujuk dan dibincang dalam prosedur lain termasuk dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
“Saya setuju ia perkara tertentu. Ia adalah mengenai kepentingan awam dan saya setuju, ia perkara penting dan perlu disiasat. Tapi masalahnya ialah ia tidak perlu disegerakan kerana mesyuarat kita didahulukan dengan aturan urusan mesyuarat.
“Maknanya jika aturan urusan mesyuarat hendak diketepikan, maka sesuatu perlu disegerakan, (usul ini) walaupun ia penting tak semestinya ia perlu disegerakan.
“Dalam Jawatankuasa Pilihan Khas lebih panjang masanya berbanding di sini. Saya rasa jawatankuasa lebih efektif dan berkesan. Banyak lagi perkara penting. Kita ada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12). Saya sudah buat keputusan,” katanya sebelum memulakan sesi perbahasan RMKe-12 di Dewan Rakyat, hari ini.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim Isnin lalu mengemukakan usul berkenaan kepada Azhar di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Terdahulu, Anwar bangun mempersoalkan keputusan Azhar menolak usul berkenaan sedangkan ia satu perkara penting yang mesti dibahas dan diputuskan di peringkat Parlimen.
“Saya tegaskan, kita tidak menghukum tapi kalau ratusan juta ringgit disorok dan kita diam, ini perlu dijawab. Ia mesti merentas parti. Kita tidak menghukum siapa yang disebut (dalam laporan itu).
“Dia (individu yang disebut) boleh bagi penjelasan tapi kalau ratus juta hilang dan kita tidak beri ruang kepada pihak berkenaan jawab dan siasatan tidak dilaksana, kerajaan akan lingkup,” katanya turut memaklumkan akan mengemuka notis kepada Azhar supaya mempertimbangkan semula keputusan penolakan usul itu.
Azhar menjelaskan perkara itu juga boleh dibangkit bila-bila masa termasuk dalam sesi soal jawab lisan dan pertanyaan menteri.
“Ia juga boleh dicadangkan untuk penubuhan Suruhanjaya Diraja. Salah satu cara lagi, kita ada sembilan Jawatankuasa Pilihan Khas, salah satu Jawatankuasa Pilihan Khas berkaitan ekonomi merangkumi tanggungjawab Kementerian Kewangan. Ia lebih sesuai perkara ini dibawa Jawatankuasa Pilihan Khas itu untuk didalami dengan lebih teliti dan dalam jangka masa lebih panjang,” katanya.
Media sebelum ini memetik laporan Pandora Papers yang mendedahkan ratusan pemimpin dunia, ahli politik, hartawan, selebriti, pemimpin agama dan pengedar dadah dilapor menyembunyikan wang dan pelaburan mereka dalam hartanah, kapal persiaran dan aset lain, sepanjang 25 tahun lepas.
Ini didedahkan menerusi 12 juta fail yang dimiliki 14 firma di serata dunia. Menurut pendedahan itu, dua individu dari Malaysia didakwa antara 336 ahli politik yang memiliki akaun luar pesisir dan terdapat 118 syarikat luar pesisir dengan pemilik berasal dari Malaysia.