6 OKT: Sebanyak RM2.75 bilion dibelanjakan oleh Kerajaan Persekutuan bagi memberi diskaun bil elektrik kepada semua kategori pengguna yang terkesan akibat penularan pandemik COVID-19 sejak tahun lalu.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata perbelanjaan berkenaan dibiayai bersama Kementerian Kewangan melalui dana Kumpulan Wang COVID-19 (KWC), dana Kumpulan Wang Industri Elektrik dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Beliau berkata, pada tahun ini, kerajaan meneruskan inisiatif untuk membantu pengguna elektrik termasuk pengguna domestik dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), termasuk memberikan rebat elektrik sebanyak dua sen per kiloWatt jam (kWj) kepada semua kategori pengguna elektrik di Semenanjung dari 1 Januari hingga 31 Disember 2021 membabitkan peruntukan RM2.274 bilion.
“Kerajaan juga memberikan diskaun bil elektrik sehingga 40 peratus secara bersasar kepada pengguna domestik dan diskaun lima peratus kepada PKMS dari 1 Julai hingga 30 September 2021 di Semenanjung dan Sabah di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).
“Peruntukan sebanyak RM487 juta bagi pakej itu dibiayai secara bersama Kementerian Kewangan melalui dana KWC dan TNB, masing-masing sebanyak RM437 juta dan RM50 juta,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Takiyuddin memaklumkan, pelaksanaan Program Rebat Bil Elektrik RM40 yang dilaksanakan sejak 2019 juga diteruskan bagi membantu ketua isi rumah dalam kategori miskin tegar yang berdaftar dan disahkan dalam sistem eKasih.
Takiyuddin berkata sebarang pertimbangan untuk pemberian rebat atau diskaun pada masa akan datang adalah tertakluk kepada kedudukan kewangan kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, Takiyuddin menegaskan, kerajaan amat tidak bersetuju jika kerajaan negeri memutuskan membuat pewartaan keluar Hutan Simpanan Kekal bagi tujuan perlombongan.
Takiyuddin berkata, kementeriannya melalui Jabatan Perhutanan Negeri sentiasa memantau aktiviti pembalakan di Hutan Simpanan Kekal, antara lain melalui pengawalan terhadap pembukaan kawasan usahasil melalui pelaksanaan Catuan Tebangan Tahunan (CTT) yang diluluskan Majlis Tanah Negara (MTN) bagi setiap Rancangan Malaysia.
“Selain itu, kerajaan melaksanakan pensijilan Kriteria dan Petunjuk Malaysia untuk Pensijilan Pengurusan Hutan (MC&I) bagi negeri yang terbabit dengan aktiviti pengeluaran hasil kayu balak, yang menjadi kayu pengukur pelaksanaan prinsip Pengurusan Hutan Lestari yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Kerajaan juga melaksanakan aktiviti penguatkuasaan hutan secara bersepadu dengan agensi kerajaan yang berkaitan bagi menangani aktiviti pencerobohan dan kesalahan hutan,” katanya.
Dalam pada itu, Takiyuddin mengesahkan tiada Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKPSM) dikeluarkan untuk lombong atas tanah berstatus Hutan Simpanan Kekal (HSK).
Takiyuddin Hassan berkata, surat tersebut tersebut adalah bagi membolehkan syarikat menjalankan sebarang operasi di kawasan lombong.
“Secara umumnya, sebelum sesebuah syarikat memulakan aktiviti perlombongan di kawasan hutan, syarikat perlu memohon kebenaran Lesen Carigali Prospecting Licence (PL) atau Lesen Menjelajah, Exploration Licence (EL) bagi tujuan kerja cari gali atau eksplorasi mineral daripada Pihak Berkuasa Negeri (PBN), kemudian disusuli dengan kelulusan pajakan melombong.
“Selanjutnya, syarikat perlu mengemukakan permohonan kepada Jabatan Mineral dan Geosains Negeri untuk mendapatkan Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKPSM).
“Pada masa ini, tiada SKSPM akan dikeluarkan untuk lombong di atas tanah berstatus Hutan Simpanan Kekal atau rizab perlindungan serta kawasan yang diwartakan sebagai kawasan sensitif alam yang lain,” katanya.