Perancangan pemulihan negara pascaendemik yang semakin menghampiri negara seharusnya menjadi perkara utama untuk difikir dan direncanakan. Apakah langkah-langkah yang sesuai diambil perlu dimaklumkan kepada rakyat sebagai persiapan awal supaya kita semua bertindak dengan lebih bersedia?
Mungkin akan ada SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan diselaraskan di seluruh peringkat sama ada di pusat dan negeri, itu yang pasti dipersiapkan.
Namun seperti yang kita sedar, lain padang lain belalang. Lain tempat lain permasalahan. Kita perlu cakna kepada keadaan di sekitar kita.
Sebagai contoh penduduk di Terengganu terbahagi kepada dua, pertama adalah penduduk yang tinggal di kawasan pesisiran pantai, sektor utama pekerjaan adalah datang dari sektor minyak dan gas, selain sektor perikanan kemudian barulah perniagaan dan perusahaan.
Yang kedua adalah yang tinggal di kawasan wilayah Terengganu Tengah yang meliputi daerah Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu dan sektor utama di situ adalah dalam bidang pertanian dan perladangan selain perniagaan dan perusahaan.
Justeru, kerajaan negeri Terengganu perlu merencanakan juga pelan pemulihan mengikut kesesuaian tersendiri.
Pada pandangan saya, sudah sampai masanya kerajaan negeri Terengganu memberi satu ‘booster’ kepada golongan B40 serta usahawan bagi menjana kembali ekonomi sara hidup seterusnya membantu menaikkan ekonomi tempatan dan kuasa beli rakyat.
Pemberian tunai secara one off dilihat bersesuaian di samping pemberian geran-geran yang bersesuaian termasuk pinjaman tanpa faedah pasti akan dimanfaatkan sebaiknya oleh rakyat. Apa guna kerajaan negeri mempunyai duit berbilion namun rakyat hidup dalam keadaan susah dan tertekan memikirkan masa hadapan yang harus ditempuh.
Projek-projek infrastruktur boleh ditangguh sehingga masa yang sesuai namun ekonomi rakyat perlu dibantu segera. Sudah lama usahawan menanggung kerugian akibat tidak dapat membuka perniagaan dan mereka perlu dibantu tanpa berlengah lagi.
Kedudukan dan geografi negeri Terengganu perlu dimanfaatkan sebaiknya sebagai tempat pelancongan yang menarik minat pelancong dalam dan luar negeri.
Satu peruntukan khas perlu diwujudkan bagi menghidupkan dan merancakkan semula aktiviti pelancongan. Segala kemudahan serta chalet-chalet yang sedia ada diusahakan perlu dibaik pulih dengan segera bagi menarik pelancong datang sebelum penutupan sektor berkenaan ketika bermulanya musim tengkujuh.
Kesimpulannya kerajaan negeri Terengganu adalah merupakan salah satu kerajaan yang terkaya dengan pelbagai hasil bumi dan produk pelancongan yang terkenal.
Menggunakan hasil wang royalti bagi tujuan ‘booster’ kepada ekonomi rakyat sudah pasti adalah satu tindakan yang wajar.
Seluruh rakyat Terengganu berhak untuk merasai sedikit hasil nikmat lahir sebagai rakyat di negeri bertuah ini.
Syaiful Irfan Anang
Pengerusi NGO Gerakan Ekonomi Melayu Prihatin Rakyat Terengganu (GEMPUR)
Bendahari Biro Antarabangsa Armada Nasional
5 Oktober 2021