Johor dan Pahang beralih Fasa PPN Bermula 8 Oktober
6 OKT : Dua lagi negeri iaitu Johor dan Pahang bakal beralih ke fasa seterusnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang akan berkuat kuasa 8 Oktober ini.
Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)
“Johor akan beralih dari Fasa 2 ke Fasa 3, manakala Pahang pula beralih ke Fasa 4.
“Kebenaran fasa PPN bagi negeri-negeri itu dipersetujui Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19,” ujarnya menerusi satu kenyataan hari ini.
Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa 3 dan 4 adalah sama dengan sebelum ini.
Peralihan fasa ini dibuat mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Pelan Pemulihan Negara.
Antara negeri-negeri yang berada dalam Fasa 2 PPN melibatkan Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan Sabah.
Manakala di bawah Fasa 3 PPN pula termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya, Johor, Melaka, Perlis, Terengganu dan Sarawak.
Negeri Sembilan, Pahang dan Labuan pula adalah di bawah Fasa 4 PPN.
Maklumat lanjut boleh dirujuk di laman sesawang mkn.gov.my.