Di dalam dunia yang serba moden ini penting untuk kita sebagai rakyat Malaysia meneliti dan membuat kajian dengan baik kepada berita-berita yang kita dapat dalam media sosial.
Mainan persepsi sering menjadi ancaman terbesar apatah lagi apabila melibatkan isu perkauman dan bagi ahli politik yang berkepentingan, sering kali isu perkauman dijadikan modal sensasi untuk meraih sokongan.
Modal politik yang terbaharu dan hangat ketika ini adalah kematian di dalam lokap yang cuba dimanipulasi oleh majoriti wakil rakyat pembangkang sebagai isu perkauman kononnya ramai yang mati di dalam lokap kerana pelbagai sebab terutama disebabkan berlainan kaum maka mereka didiskriminasi dan tidak mendapat layanan yang adil dan saksama.
Alhamdulillah, dalam sesi penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) Kementerian Dalam Negeri, YB Dato Seri Hamzah Zainudin telah berjaya meredakan ketegangan dengan memberikan fakta-fakta sekali gus menjawab segala tohmahan dan spekulasi berkenaan kematian di lokap yang dikaitkan dengan perkauman.
Pada tahun 2021, 10 kematian di dalam lokap yang dilaporkan. Daripada jumlah ini, empat kematian melibatkan lelaki Melayu , seorang perempuan Melayu , masing-masing dua kematian lelaki Cina dan lelaki India, dan satu kematian warga asing. Sehingga kini, mahkamah telah membenarkan satu kes inkues dan sembilan lagi kes masih dalam siasatan.
Berdasarkan statistik sedia ada, tidak pernah berlaku diskriminasi terhadap mana-mana kaum semasa orang kena tuduh (OKT) berada dalam tahanan PDRM.
Peratusan kematian dalam lokap pula adalah sangat kecil. Statistik kematian mengikut tahun adalah seperti berikut.
Daftar di lokap pada tahun 2016 adalah 113,111 orang, kematian yang dilapor lima Melayu , Cina (1), India (3), lain-lain bangsa (1) dan warga asing (1). Peratusannya hanya 0.011 peratus.
Daftar lokap pada tahun 2017 adalah 92,462 orang, kematian di dalam lokap adalah 14 orang , melayu (5), Cina (3), India (4) dan warga asing (2). Peratusannya 0.015 peratus.
Pada 2018, daftar lokap adalah 91,354 dan jumlah kematian adalah 10 yang melibatkan Melayu (6), India (2) dan warga asing (2).
Tahun 2019 pula mencatatkan daftar lokap sebanyak 94,113 dengan kematian sembilan orang iaitu Melayu (6), India (1) dan warga asing (2).
Tahun 2020 pula 91,246 daftar lokap dan melaporkan 13 kematian yang melibatkan Melayu (6), Cina (4), India (2) dan warga asing (1).
Pada tahun 2021 sehingga bulan September, sebanyak 63,773 daftar lokap dengan kematian yang direkod berjumlah 10 kematian yang melibatkan Melayu (5), Cina (2), India (2) dan warga asing (1).
Berdasarkan data-data yang telah dikemukakan oleh YB Menteri Dalam Negeri maka jelaslah tidak timbul isu diskriminasi kaum sehingga menyebabkan kematian di dalam lokap seperti yang mainkan oleh ahli politik pembangkang yang cuba memanipulasi isu dan tidak bertanggungjawab.
Maka, saya ingin sarankan kepada semua supaya janganlah kita terus percaya apa jua berita, tohmahan serta prasangka buruk yang melibatkan kerajaan tanpa membuat kajian secara mendalam terlebih dahulu kerana kita tidak mahu diri kita termakan dengan hasutan yang akhirnya hanya akan merugikan diri kita, bangsa, agama dan negara.
Mohd Ekhwan Mohd Hatta
Naib Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Kelantan
5 Oktober 2021