6 OKT: Kerajaan dijangka membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menambah baik keperluan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada akhir bulan ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata bacaan pertama pindaan Perlembagaan Persekutuan 1963 berkenaan bakal dibaca buat kali pertamanya pada 26 Oktober ini dan diikuti bacaan kedua, pada 28 Oktober ini.
Berikutan itu, Wan Junaidi berkata pihaknya akan mengadakan sesi libat urus bersama pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak, sebelum RUU berkaitan dibentangkan ke Parlimen.
“Jabatan Peguam Negara (AGC) juga dalam proses mengemas kini RUU tersebut selain ada sesi perbincangan dengan pihak perundangan dari dua negeri tersebut.
“Inisiatif yang giat dilaksanakan kementerian itu menerima sokongan penuh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Nor dan para pemimpin negeri berkenaan.
“Pertemuan juga akan diadakan dengan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Dr. Abang Johari Tun Openg bagi membincangkan isu tersebut dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wan Junaidi berkata berdasarkan maklum balas diterima, beliau menyasarkan akan ada mesyuarat khas yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 21 Oktober ini.
Susulan daripada pertemuan tersebut, satu kertas khas mengenai MA63 dijangka dapat dibentangkan oleh Perdana Menteri kepada anggota jemaah Kabinet pada keesokan harinya.
Malahan, sekiranya mengikut jadual waktu kementerian itu, AGC dijadualkan menerbitkan draf RUU perkara tersebut untuk dapat diagihkan kepada semua Ahli Parlimen pada 25 Oktober.
“Kita berharap, menerusi pindaan berkenaan, beberapa perkara kritikal yang dipertikaikan sejak sekian lama melibatkan pelbagai isu dalam MA63 dapat diselesaikan,” katanya.
Beliau dalam nada yakin berharap, RUU itu akan mampu merungkai banyak kemelut yang dianggap samar di samping dapat memperjelaskan lagi kedudukan pribumi Sabah dan Sarawak.
MA63 dirangka pada 15 November 1961 lalu sebelum dimeterai pada 31 Julai 1963 yang melibatkan kerajaan Britain, Tanah Melayu, Borneo Utara (kini Sabah), Sarawak dan Singapura.
Dokumen dalam bahasa Inggeris dan Melayu itu turut disimpan oleh pemegangnya, kerajaan Britain dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu selaras dengan laporan bebas Suruhanjaya Cobbold.