6 OKT: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah menyerahkan bantuan MAFI Prihatin seberat 10 tan metrik kepada 1,500 orang petugas barisan hadapan Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) hari ini.
Mereka terdiri daripada orang warga awam MINDEF dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari Markas Angkatan Tentera Malaysia, Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia di Kem Kementah, Kuala Lumpur.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, sumbangan berbentuk hasil pertanian seperti sayuran, buah-buahan dan produk industri makanan itu adalah kesinambungan program MAFI Prihatin yang merupakan inisiatif MAFI untuk membantu golongan sasar yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
“Ia juga bagi menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus dalam usaha memerangi pandemik tersebut.
“Program MAFI Prihatin yang dilancarkan pada Januari 2021 telah diperkasakan lagi dengan penglibatan pihak swasta dan pemain industri sebagai rakan strategik selaras dengan pendekatan whole-of-nation yang menggembleng kerjasama seluruh anggota masyarakat dan Kerajaan dalam usaha memerangi pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Turut hadir, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain; Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad, Panglima Tentera
Udara dan Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli.
Menurut Ronald, bantuan melalui MAFI Prihatin juga diberikan kepada golongan yang terkesan akibat banjir dan bencana alam yang lain serta kepada badan kebajikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memerlukan.
“Program MAFI Prihatin ini adalah sangat memberangsangkan dalam memberi ruang dan manfaat kepada banyak pihak terutama sekali di dalam tempoh pandemik yang begitu mencabar ini.
“Manfaat ini turut dirasai oleh para semua frontliners dan ini sedikit sebanyak mampu untuk menaikkan semangat dan usaha mereka untuk meneruskan perjuangan dalam memerangi wabak COVID-19 ini,” ujar Ronald.
“Melangkah ke hadapan, bagi pihak MAFI, saya memberi jaminan dan mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama di antara Kementerian dan sudah pasti ia baik kepada negara demi kesejahteraan rakyat,’’ katanya.
Menurutnya, secara keseluruhannya, sejak Januari hingga September yang lalu, seramai 117,033 penerima menerima manfaat telah direkodkan melalui Program MAFI Prihatin di lebih 500 lokasi seluruh negara melibatkan 10 buah jabatan dan agensi di bawahnya.
Jelasnya, sehingga, 3 Oktober 2021, pelaksanaan MAFI Prihatin melalui FAMA sahaja, telah memberi manfaat kepada 38,874 orang di 203 lokasi seluruh negara dengan jumlah keseluruhan sebanyak 76.60 tan metrik makanan telah disalurkan.