6 OKT: Kerajaan menyasarkan tempoh 10 tahun untuk menjadi Malaysia sebagai negara pengeluar vaksin manusia menerusi pelancaran Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara ,dalam masa terdekat.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata pelan ini dikoordinasi melalui kerjasama strategik pelbagai pihak merangkumi badan kerajaan, industri, ahli akademik dan masyarakat supaya pendekatan lebih menyeluruh dapat dikoordinasikan.
“Sebagai permulaan sebuah pusat vaksin negara akan ditubuhkan iaitu Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI), yang mana inisiatif ini perlu disegerakan kerana kerajaan sedar sukar untuk Malaysia terus bergantung dan mendapatkan vaksin dari negara maju.
“Oleh itu, kepakaran dalam negara sedang dikenal pasti dan disusun bagi memastikan strategi dan tindakan dapat dilaksanakan mengikut masa ditetapkan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Parlimen, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Adham berkata pihaknya sedang mempergiat usaha dan sokongan kepada lebih ramai bakat tempatan yang mampu mencipta teknologi bagi menyokong pertumbuhan industri tempatan melalui penyelidikan pembangunan, pengkomersilan dan inovasi.
“Kita menzahirkan sebanyak 5,000 syarikat yang akan kita bangunkan melalui dana ini dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
“Syarikat-syarikat ini yang berada di merata tempat dalam negara dan bantuan ini kebanyakan ditumpukan di Teknologi Park Malaysia (TPM) di Bukit Jalil, untuk kita kembangkan dan kita akan bantu,” katanya.
Beliau berkata, di bawah RMK-12 juga, kementeriannya sudah memperuntukkan dana penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebanyak RM500 juta.
“Melalui peruntukan ini, kementerian akan memastikan 50 peratus dari dana penyelidikan digunakan bagi pembangunan penyelidikan ‘experimental development’ untuk projek yang berpotensi untuk dikomersialkan.
“Dengan pelaksanaan perkara ini, perbelanjaan kasar R&D dapat ditingkatkan daripada 1.14 peratus pada 2018 menjadi 2.5 peratus pada 2025,” katanya.
Melalui usaha ini juga katanya, banyak syarikat tempatan dapat beralih daripada sektor pengguna teknologi kepada pembangunan dan pencipta teknologi.