6 OKT : Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya kini sedang giat melaksanakan kajian bagi memberi peluang kepada pembukaan sektor pelancongan antarabangsa membabitkan pelbagai destinasi dari luar negara.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya kini sedang merangka serta meneroka segala peluang bagi pembukaan gelembung pelancongan tersebut dan telah pun melaksanakan pelbagai kerja-kerja awalan agar ianya dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.
“Saya sendiri ada melakukan sesi libat urus bersama Pengarah Tourism yang kini bertugas di luar negara bagi mendapatkan maklumat terperinci serta sentimen pasaran masing-masing.
“InsyaAllah, semua usaha ini adalah untuk membangunkan gelembung pelancongan antarabangsa yang boleh menarik semula pelancong asing.
“Namun, pada masa sama, meminimumkan apa jua risiko dalam mengimbangi faktor ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen PH Bukit Bintang, Fong Kui Lun mengenai pandangan agar lebih banyak gelembung pelancongan dibuka selain Pulau Langkawi.
Dalam pada itu, menjawab juga persoalan dibangkitkan Kui Lun berkenaan pembatalan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 akibat pandemik COVID-19, Nancy memaklumkan ia memerlukan persediaan rapi serta peruntukan yang besar di samping tempoh masa yang wajar diperlukan.
Menurut beliau, ini bagi membolehkan pra promosi dan pemasaran skala besar dilaksanakan bagi menarik pasaran antarabangsa.
“Penganjuran kempen tahun melawat Malaysia sebagai penggalak yang diakui bukan sahaja boleh melonjakkan industri pelancongan malah ekonomi negara namun kempen ini bukan satu-satunya jalan promosi bagi menarik kehadiran pelancong ke Malaysia.
“Kini, kerajaan sedang menumpukan usaha-usaha pemulihan industri pelancongan menerusi pelaksanaan Pelan Pemulihan Pelancongan dan Kebudayaan yang telah dibangunkan MOTAC.
“Justeru, keputusan tahun melawat Malaysia akan datang dipertimbangkan pelbagai faktor seperti pemulihan pelancongan di peringkat global dan waktu yang sesuai,”katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH