Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka sah bubar semalam ekoran tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menarik balik sokongan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Speaker DUN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sudah memaklumkan Proklamasi Pembubaran DUN Melaka Yang Keempat Belas akan diwartakan pada 5 Oktober 2021, sekali gus membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam tempoh 60 hari.
Susulan itu, ada pelbagai pendapat mengenai kewajaran pembubaran DUN Melaka dan keperluan mengadakan PRN memandangkan negara kini masih melawan COVID-19.
Justeru itu, ada pula mencadangkan supaya Darurat diisytiharkan di Melaka bagi menghalang proses pilihan raya seperti dilaksanakan di Sarawak ketika ini
Setakat ini, Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) masih belum bermesyuarat mengenai persiapan dan proses PRN Melaka.
Sudah tentu SPR akan merujuk perkara ini kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menentukan keputusan dan kewajaran bagi menjalankan PRN Melaka walaupun jumlah orang dewasa lengkap menerima dos vaksin COVID-19 sudah hampir 90 peratus.
Dengan jangkaan PRN akan diadakan selewat-lewatnya pada pertengahan November, jumlah penerima vaksin bagi orang dewasa dijangka mencecah 95 peratus manakala bagi remaja 12 hingga 17 peratus kemungkinan mencapai lebih 40 peratus.
Persoalannya, wajar atau tidak PRN Melaka dalam tempoh terdekat ini dikaitkan dengan COVID-19 yang akan menjadi endemik kepada rakyat negara ini seperti dinyatakan berulang kali oleh Kementerian Kesihatan.
Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak mengulas mengenai PRN Melaka menegaskan bahawa etika politik menuntut orang politik mengetepikan perbezaan dan mengutamakan kepentingan rakyat dan negara dalam situasi wabak ini.
“Sekiranya kita mahu membina kestabilan politik, pertelingkahan dalaman politik mesti dihentikan,” katanya yang tidak bersetuju dengan percubaan mengadakan PRN Melaka selepas PRN Sabah sebelum ini mencetuskan semula gelombang COVID-19 yang bukan sahaja menambah bilangan kes baharu tetapi meningkatkan angka kematian rakyat.
Katanya, tanggungjawab kini jatuh atas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk menentukan sama ada untuk memenuhi keinginan segelintir ahli politik di Melaka mengadakan PRN atau “tumpu pada keperluan rakyat”.
Salleh berkata, konflik politik yang berpanjangan ketika negara sedang dalam kecemasan hanya akan memberi imej negatif pada ahli politik.
Ada logik juga pendapat Salleh tetapi kes COVID-19 yang semakin melandai dan kadar peratusan imuniti kelompok perlu diambil kira selain persediaan meneruskan hidup dalam endemik wabak tersebut.
Sekiranya keputusan mengadakan PRN Melaka kekal, rakyat di negeri Hang Tuah itu bakal menjadi pengundi yang bersejarah serta mungkin akan menjadi model kepada pilihanraya umum ke 15 kelak selepas pasca COVID-19.
Ini juga sekali juga menjadi asas dan persediaan bagi menghadapi PRN Sarawak selepas perisytiharan Darurat berakhir pada awal Februari depan.
Terserah kepada SPR dan KKM sama ada tumpu pada keperluan rakyat yang mahu menjalani khidupan sihat atau melayan kegelojohan orang politik yang semakin pelik perangainya atau ia sudah menjadi norma baharu menjatuhkan kerajaan.