SAYA terkejut dengan kenyataan Pengerusi BPN Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen yang mahu menjalinkan kerjasama dengan BN dalam PRN Melaka yang bakal diadakan.
Mohd Rafiq selaku Naib Presiden Bersatu tidak sedarkah selama ini Umno menghina Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dengan pelbagai kejian dan nista.
15 MP Umno tarik sokongan terhadap TSMY baru sangat berlaku. Kita semua nampak bukan?
Bila sampai masa nak adakan PRN, kita pelawa mereka bekerjasama. Apakah kita takut dengan BN/Umno?
Bersatu Melaka perlu yakin bahawa inilah peluang terbaik untuk memperkenalkan PN kepada orang Melaka, sebelum PRU-15.
Andaikata pencapaian PN tidak memberangsangkan dalam PRN ini, jadikan ia sebagai titik tolak untuk terus bekerja bagi tujuan menarik sokongan rakyat kepada PN.
Cukuplah berbincang dengan BN/Umno ini. Mereka tidak sudi. Bersatu kena ada sikap, “pinggan tak retak, nasi tak dingin. BN tak hendak, PN tak ingin”.
PRN Sabah satu contoh, bahawa rakyat memilih PN dan bukan BN. Di Sabah, PN mempelawa BN untuk sama-sama menggunakan lambang PN, mereka tolak.
Bukan setakat tolak, mereka buat kempen “mereka dibuli” oleh Bersatu. Padahal, Bersatu membantu semua calon BN di Sabah dengan pelbagai bantuan termasuk wang ringgit, tetapi apa balasan mereka kepada PN/Bersatu?
Dari mulut orang Umno, kecuali beberapa orang sentiasa menghina Bersatu/PN. Jadi, mengapa kita terhegeh-hegeh mengajak bekerjasama?
Adakah Bersatu Melaka takut dengan pengaruh BN? Atau Bersatu Melaka tiada keyakinan dapat memenangi PRN kali ini. PN mesti belajar “berperang” dengan kekuatan sendiri.
Jangan lagi bergantung kepada sesiapa, lebih-lebih lagi Umno. Tahukah Datuk Mohd Rafiq, selama ini Ketua Umno Bahagian Tangga Batu, Senator Mohamad Ali sedang berkempen siang dan malam mahu membunuh Bersatu?
Apakah maklumat ini Datuk Mohd Rafiq tidak terima? Senator Mohamad Ali ini adalah Timbalan Speaker Senat yang dilantik zaman TSMY jadi PM. Itu pun dia tidak tahu berbudi bahasa bila bercakap tentang Bersatu.
Cukuplah berkira dengan Umno/BN ini. Perkukuhkan PN dan kerjasama dengan PAS diperbaiki lagi.
Buang perasaan benci, eloklah berbincang dengan Datuk Seri Idris Harun dan bekas ADUN Bebas untuk bersama-sama PN.
Insyaallah, PN tetap menjadi pilihan rakyat Melaka.
Daud Haji Ibrahim
Penulis Politik