6 OKT: Singapura memansuhkan Akta Hasutan yang digubal penjajah British, 83 tahun lalu bagi membendung kegiatan pembangkang warga tempatan.
Jenayah hasutan termaktub dalam perundangan Inggeris, dirangka untuk melindungi golongan Raja dan kerajaan British daripada sebarang pergolakan awam dan tentangan dalam kalangan mereka sendiri.
Menteri Dalam Negeri dan Undang-Undang Singapura, K Shanmugam, menjelaskan kepada Parlimen bahawa aspek utama perundangan itu sudah lama tidak relevan dengan persekitaran moden republik berkenaan.
“Akta Hasutan kini tidak lagi digunakan untuk mana-mana kes pendakwaan, sebaliknya akta lain digunakan bagi menangani isu yang terangkum dalam Akta Hasutan, secara lebih bersasar dan diselaras,” katanya.
Susulan langkah pemansuhan itu, Singapura akan meminda Kanun Prosedur Jenayah dan Kanun Keseksaan supaya merangkumi aspek Akta Hasutan seperti tindakan mempromosikan hasad jahat atau menyuntik permusuhan dalam kalangan rakyat Singapura.
Shanmugam berkata, perundangan berkaitan hasutan pertama kali diperkenalkan di Singapura menerusi Ordinan Hasutan 1938, ketika republik itu dijajah oleh British.
Akta Hasutan yang ada ketika ini berteras daripada Ordinan Hasutan 1948 dan diperkenalkan British kepada Persekutuan Tanah Melayu pada tahun berkenaan, untuk menghalang protes pembangkang tempatan terhadap pemerintahan British.
Akta itu memperuntukkan kecenderungan menghasut sebagai satu jenayah, termasuk antara lain merangkumi tindakan mengundang kebencian, penghinaan dan mencetuskan ketidakpuasan hati atau tentangan dalam kalangan penduduk atau rakyat Singapura.
“Tindakan mencetuskan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan tidak sepatutnya dianggap sebagai suatu perbuatan jenayah. Jika tidak, ramai, termasuk individu dalam dewan ini (Parlimen) akan dianggap sebagai penjenayah,” kata Shanmugam.
Akta berkenaan merekodkan enam pendakwaan sejak 1965 dan kali terakhir digunakan ialah pada 2016, dalam pendakwaan membabitkan individu di sebalik laman sesawang The Real Singapore, yang menyebarkan sentimen antiwarga asing menerusi kenyataan dalam talian.- AGENSI