7 OKT: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan memperuntukkan RM191 juta bagi membayar Bantuan Musim Tengkujuh Tahun 2021 (BMT 2021) kepada lebih 310,000 pekebun kecil getah di seluruh negara, pada November dan Disember ini.
Pengerusi RISDA, Datuk Mohd Salim Mohd Shariff, berkata pemberian bantuan berkenaan adalah susulan pengumuman bahawa kerajaan membayar RM600 seorang kepada pekebun kecil getah di seluruh negara semasa pembentangan Belanjawan 2021.
Mohd Salim berkata pemberian bantuan berkenaan akan membabitkan seramai 232,319 pekebun kecil RISDA dan 86,323 pekebun kecil Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) yang terjejas pendapatan disebabkan penurunan hasil akibat musim tengkujuh.
“Sepertimana tahun sebelumnya, kadar bantuan RM600 seorang berkenaan akan disalurkan dua peringkat iaitu RM300 pada bulan November dan RM300 lagi pada Disember 2021.
“Bantuan ini akan disalurkan melalui sistem perbankan elektronik (EFT) ke akaun penerima dan semakan boleh dibuat menerusi laman web bmt.risda.gov.my atau menghubungi Pejabat RISDA di mana permohonan dibuat,” katanya pada sidang media di Parlimen sebentar tadi.
Bagi permohonan baharu pekebun boleh membuat permohonan di mana-mana Pejabat RISDA berhampiran, manakala penoreh getah mereka boleh berbuat demikian dengan hadir ke Pejabat RISDA di mana tanah pemohon berada.
Pada masa sama, Mohd Salim berkata RISDA juga menyarankan supaya 145,966 pekebun kecil dan penoreh getah yang belum mengemas kini permohonan supaya berbuat demikian sebelum 15 November 2021.
Beliau berkata pemberian bantuan berkenaan menunjukkan kerajaan dan RISDA sentiasa mengambil berat dan memelihara kebajikan pekebun kecil dan penoreh getah di seluruh negara.
“Penyaluran BMT 2021 adalah salah satu usaha dan tanda keprihatinan kerajaan untuk membantu pekebun kecil dan getah yang terjejas akibat musim tengkujuh,” katanya.
Get real time updates directly on you device, subscribe now.