7 OKT: Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) tanpa sebarang pindaan.
Usul RMK-12 yang memperuntukkan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM400 bilion itu dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 27 September lalu.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun meluluskan usul itu menerusi undi suara selepas menyaksikan lebih suara bersetuju berbanding tidak bersetuju.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menjadi menteri terakhir menggulung usul itu sebelum ketetapan dibuat.
Fokus rancangan pembangunan lima tahun negara itu telah dibahaskan selama empat hari oleh 106 Ahli Parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang bermula 28 September lalu sebelum sesi penggulungan oleh kementerian berlangsung selama tiga hari bermula 5 Oktober lalu.
Peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM400 bilion bagi pembangunan tahun 2021 hingga 2025 adalah jumlah terbesar pernah diusulkan.
Antara tumpuan dan matlamat kerajaan membentangkan RMK-12 ialah membasmi kemiskinan dan membantu kumpulan B40 serta M40 meningkatkan ekonomi mereka.
Malah lebih separuh atau kira-kira RM1.5 bilion daripada peruntukan RMK-12 bakal digunakan untuk merancang program golongan miskin tegar antaranya melalui program pemerkasaan ekonomi komuniti bandar, dan skim pembangunan kesejahteraan.
Antara isu yang dibangkitkan dalam sesi perbahasan adalah mengenai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Anti Lompat Parti, RUU Pembiayaan Dana Politik, RUU Anti Gangguan seksual dan banyak lagi.
Turut menjadi tumpuan perbahasan ahli Parlimen ialah isu kehilangan bahan bukti AS$6 juta dari simpanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), RCI Tabung Haji dan kes perbelanjaan peruntukan RM100 juta disalurkan kepada
Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).