7 OKT : Indonesia menangguhkan gelembung pelancongan Riau-Singapura yang dijadualkan dibuka bulan ini berikutan terdapat peningkatan kes COVID-19 di bandar berhampiran wilayah itu.
Menurut Gabenor Kepulauan Riau, Ansar Ahmad, bahawa pentadbiran kepulauan Riau sedang berusaha menarik pelancong domestik ke wilayah itu sementara menunggu keputusan kerajaan Pusat untuk menyambung semula skim gelembung perjalanan dengan Singapura.
Ansar berkata, pihaknya juga sudah menghantar surat rasmi kepada Kementerian Dalam Negeri dan Agensi Mitigasi Bencana Kebangsaan bagi mencadangkan kelonggaran berhubung syarat sijil ujian COVID-19 untuk melakukan perjalanan antara wilayah.
Beliau turut memberi jaminan, kawasan pelancongan di kepulauan itu sudah melaksanakan standard prosedur operasi (SOP) kesihatan yang ketat bagi memastikan keselamatan pengunjung, selain mengelakkan risiko penularan jangkitan dan kluster baharu COVID-19.
Kata Ansar lagi, kawasan tarikan pelancongan di Kepulauan Riau sudah dibuka semula susulan kedudukan Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) beralih ke Tahap Satu.
Pada 4 Oktober lalu, kerajaan Indonesia mengisytiharkan negara itu membuka semula pintu sempadan bagi pelancongan membabitkan enam negara iaitu Korea Selatan, China, Jepun, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan New Zealand ke Bali mulai 14 Oktober.