7 OKT: Kerajaan akan terus melaksanakan ‘Op Naga’ bagi mengekang pencerobohan nelayan asing ke perairan negara dari semasa ke semasa.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said, berkata perkara itu selaras dengan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 24 April 2019 yang bersetuju Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengetuai pasukan petugas khas dianggotai pelbagai agensi bagi menjalankan operasi bersepadu bagi menangani isu pencerobohan bot nelayan asing (BNA) di perairan negara.
Ismail berkata Ops Naga juga antara lain bertujuan menangani isu kehilangan hasil sumber laut negara.
“Op Naga berupaya membantu dalam membanteras kegiatan pencerobohan BNA terutamanya dari negara Vietnam yang sangat aktif merompak hasil laut di perairan negara tidak kira di perairan Pantai Timur ataupun di perairan Sabah dan Sarawak.
“Sepanjang tempoh operasi ini dilaksanakan, sehingga 17 Ogos 2021, sebanyak 22,384 pemeriksaan telah dilaksanakan dan 416 tangkapan berjaya dilakukan termasuk 220 kes melibatkan BNA daripada Vietnam,” katanya ketika menjawab soalan di sesi jawab lisan di Parlimen hari ini.
Ismail berkata demikian bagi menjawab soalan dikemukakan oleh Ahli Parlimen PH-Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah OPS Naga masih diteruskan bagi menyelamatkan hasil negara dan membela nasib nelayan terutama dalam mendepani krisis COVID-19.
Mengulas lanjut, Ismail berkata kerajaan juga telah berjaya memperoleh sebanyak RM455,947,100.00 hasil daripada nilai rampasan bot dan denda yang dikenakan ke atas pemilik BNA terbabit.