7 OKT : Malaysia bakal membuka pintu untuk menerima semula pelancong luar negara termasuk dari Asia Barat.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kini sedang membuat persediaan dalam rangka menerima semula ketibaan pelancong luar dalam suasana persekitaran selamat daripada COVID-19.
Menurut Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, MOTAC komited meningkatkan kemudahsampaian pelancong ke negara ini sebaik pembukaan semula pintu sempadan antarabangsa.
“Pelancong dari Asia Barat mendominasi lima kedudukan tertinggi dari segi perbelanjaan per kapita, selain mencatatkan purata tempoh penginapan lebih panjang di negara ini berbanding pelancong dari pasaran lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu susulan pertemuan Nancy bersama wakil pengurusan dan agensi jualan empat syarikat penerbangan antarabangsa di Asia Barat dalam usaha menjalinkan kerjasama mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan.
Empat syarikat itu ialah Qatar Airways, Saudi Arabian Airlines, Air Arabia dan Emirates Airlines.
Sementara itu, antara perkara dibincangkan pada pertemuan itu adalah strategi dan perancangan mempromosi Malaysia bagi menarik pelancong antarabangsa dari pasaran lain seperti Eropah, Amerika dan Afrika melalui jaringan rangkaian syarikat penerbangan masing-masing.