7 OKT : Pembukaan dua seksyen jalan Central Spine Road (CSR) Jajaran Bentong hari ini dilihat bakal memberikan banyak impak positif kepada rakyat daripada aspek perhubungan, mobiliti dan ekonomi.
Dua seksyen berkenaan ialah laluan 5C dari Kampung Asap ke Kampung Sertik, dan laluan 5D melibatkan Bentong Bypass.
Pembukaan jalan baharu ini dijangka mampu merancakkan ekonomi melalui aksesibiliti mudah ke lokasi-lokasi pelancongan di kawasan Pahang Barat.
Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, pembukaan jajaran ini akan meningkatkan perhubungan dan jumlah mobiliti pengguna ke Pantai Timur melalui penyediaan laluan alternatif baharu ini.
“Sebagai perbandingan, penduduk Kampung Mempaga yang ingin ke Pekan Bentong sebelum ini perlu melalui jalan persekutuan dengan jarak 30 km.
“Namun setelah siap jalan Bentong bypass ini, jarak perjalanan dapat dipendekkan kepada 12 km sahaja dengan penjimatan masa daripada 45 minit kepada 20 minit,” jelasnya menerusi kenyataan di Facebook rasminya.
Perasmian Jajaran Bentong ini disempurnakan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini.
Manakala menurut Wan Rosdy, pembukaan jalan CSR Jajaran Bentong ini dapat menjimatkan masa dan kos bahan api serta mengurangkan kesesakan trafik di Jalan Persekutuan terutama ketika waktu puncak dan musim cuti perayaan.
“Ia mempertingkatkan perhubungan dengan kemudahan mobiliti pengguna ke Pantai Timur sekaligus turut merancakkan ekonomi dengan kemudahan laluan ke lokasi-lokasi pelancongan khususnya di kawasan Pahang Barat,” ujarnya.
Laluan ini telah diwartakan menjadi Jalan Persekutuan 34 (CSR), dengan panjang jajaran yang dibuka pada hari ini ialah 22.3 kilometer, menjadikan jumlah keseluruhan jajaran CSR yang dibuka kepada pengguna adalah sepanjang 89.25 kilomete
Projek Jalan CSR merupakan pembinaan jalan baharu dan menaiktaraf jalan sedia ada sepanjang hampir 306.8 kilometer dari Kuala Krai, Kelantan ke Persimpangan LPT, Bentong, Pahang, berasaskan 4 lorong 2 hala (4-lane dual carriageway) mengikut piawaian JKR R5.
Jajaran Seksyen 5C dan 5D bermula dari Jalan Susur Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak (Lebuhraya Pantai Timur – LPT) melalui Persimpangan Benus, Bulatan Mempaga dan berakhir di Persimpangan Keruntung, Pahang.
Projek Seksyen 5C telah dimulakan pada 5 November 2015 dan telah disiapkan pada 30 Oktober 2018 dengan panjang jajaran sepanjang 5.78 kilometer.
Manakala untuk Seksyen 5D, projek telah dimulakan pada 18 April 2016 dan telah disiapkan pada 20 April 2021 dengan panjang jajaran sepanjang 22.72 kilometer. Kos projek untuk pakej-pakej ini adalah sebanyak RM631.98 juta- Oleh Hafiz Hamzah