7 OKT: Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) telah membuat pendirian bahawa tidak ada keperluan untuk mewujudkan satu lagi jawatan Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat pada masa ini.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, kewujudan dua Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat sepertimana yang termaktub dalam Perkara 57(1)(b) Perlembagaan Persektuan adalah memadai bagi tujuan menjamin kelicinan perjalanan mesyuarat Dewan Rakyat.
Selain itu, beliau memaklumkan peruntukan Perkara 57(3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan mana-mana Ahli Parlimen mempengerusikan Mesyuarat Dewan Rakyat pada masa ketiadaan Yang Di-Pertua dan Timbalan-Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat juga adalah memadai bagi tujuan menjamin kesempurnaan perjalanan Mesyuarat Dewan Rakyat.
“Justeru, tiada keperluan bagi Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk menambah satu lagi jawatan Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat pada masa ini. Cadangan pindaan perlembagaan ini memerlukan sokongan majoriti dua pertiga Ahli-Ahli Dewan Rakyat.
“PN berpendirian bahawa persefahaman antara Kerajaan dan pembangkang di Parlimen adalah terhad kepada perkara-perkara yang telah dipersetujui bersama dan termaktub secara jelas dalam Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani antara Perdana Menteri dan pimpinan Pakatan Harapan pada 13 September 2021,” katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) memaklumkan pindaan Perlembagaan untuk menambah jawatan Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat tidak termaktub dalam memorandum persefahaman di antara kerajaan dan pembangkang.
“Justeru, adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak untuk menuntut pelaksanaannya. Atas dasar ini, PN telah membuat pendirian untuk tidak menyokong sebarang cadangan pindaan perlembagaan bagi tujuan ini,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH