7 OKT: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, mengesahkan UMNO sudah menyerahkan surat rasmi pemecatan keahlian dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Mereka ialah, ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Harun dan ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata surat pemecatan itu diserahkan kepada Ketua UMNO Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, kelmarin.
“Sebelah malam (kelmarin) saya telah sampaikan kepada Ketua UMNO Tangga Batu sebab dua (ADUN) itu adalah ahli dalam bahagian berkenaan.
“Mengikut dua fasal dalam Perlembagaan UMNO, mereka berdua tergugur daripada keahlian dalam parti dan saya telah menyampaikannya, kelmarin.
“Saya kira semalam, mereka telah menerima surat rasmi pengguguran mereka daripada ahli UMNO,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.