Wanita PN tidak setuju PRN diadakan di Melaka
7 OKT : Wanita Perikatan Nasional (PN) meluahkan rasa kecewa berhubung krisis politik di Melaka yang mengakibatkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) ekoran 4 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Ketuanya, Datuk Seri Rina Harun berkata, menerusi satu kenyataan hari ini, dikala rakyat dan negara sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19, kerajaan perlu memberi fokus untuk memulihkan negara dan negeri Melaka daripada pandemik tersebut.
“Proses pemulihan negara dan negeri sedang berjalan lancar dan usaha-usaha yang telah dijalankan oleh kerajaan PN sebelum ini yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin, kini sudah mula menampakkan kesan positif.
“Justeru, Wanita PN berpendirian mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di kala pandemik Covid-19 bukanlah masa yang sesuai buat masa masih belum reda bukanlah masa yang sesuai,” jelasnya menerusi kenyataan tersebut.
Kata Rina yang juga merupakan Ketua Srikandi BERSATU Malaysia, walaupun negara kini sudah hampir mencapai sasaran imunisasi kelompok 90 peratus, risiko jangkitan dikhuatiri akan meningkat jika ratusan ribu rakyat Melaka keluar mengundi.
Kenyataan tersebut dikeluarkan bersama oleh ketua-ketua penerangan parti gabungan PN terdiri daripada Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Nuridah Mohd Saleh, Ketua Wiranita STAR, Evelyn Gobile, Ketua Wanita SAPP, Irene Chan Kam Lan dan Ketua Wanita Nasional Gerakan Janice Wong Oi Foon.
Walau bagaimanapun menurut Rina, Wanita PN sentiasa bersedia untuk menghadapi PRN dengan mengikut Standard Operasi Procedure (SOP) yang ketat dan bersesuaian.