8 OKT: Tiga lokaliti perkampungan Orang Asli (OA) di Pahang akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Ahad ini hingga 23 Oktober hadapan.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad berkata, daripada jumlah itu, dua daripadanya direkodkan di Pos Lenjang dan Pos Titom di Mukim Ulu Jelai, Lipis.
“Selain itu, Pos Sinderut di Mukim yang sama juga turut dilaksanakan PKPD. Keputusan itu dibuat selepas pihaknya meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko dan jangkitan COVID-19 di lokaliti itu.
“Prosedur operasi standard (SOP) bagi semua PKPD sama seperti diumumkan sebelum ini,” katanya menerusi kenyataan media perkembangan harian PKPD, hari ini.
Dalam pada itu, Rodzi memaklumkan PKPD dua perkampungan OA di Kuala Krau, Temerloh di Pahang akan ditamatkan esok, seperti yang telah dijadualkan
“Dua kampung tersebut adalah Kampung Pasu dan Kampung Penderas yang mula dilaksanakan PKPD pada 12 September lalu.
“Selain itu, Rumah Pangsa Jalan Karak Mentakab di Temerloh juga turut ditamatkan PKPD bermula tengah malam ini,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH