8 OKT: Cuma 0.9 peratus diperlukan negara ini bagi mencapai 90 peratus populasi dewasa lengkap vaksin COVID-19 sebelum aktiviti rentas negeri dibenarkan.
Berdasarkan laman sesawang COVIDNOW setakat tengah malam tadi, seramai 20,856,337 individu atau 89.1 peratus populasi dewasa telah lengkap dos suntikan manakala 1,296,965 atau 5.5 peratus mendapat sekurang-kurangnya satu dos.
Bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK-Remaja), seramai 2,156,346 individu berusia 12 hingga 17 tahun atau 4.7 peratus telah lengkap dos suntikan manakala 2,008,408 remaja mendapat satu dos.
Keseluruhan populasi penduduk Malaysia yang lengkap suntikan dos vaksin adalah 21,004,275 individu atau 64.3 peratus.
Mengikut unjuran dalam tempoh 40 hari, negara akan mencapai 80 peratus populasi penduduk lengkap suntikan dos pada 17 November depan.
Sebanyak 196,647 dos harian telah diberikan semalam menjadikan jumlah keseluruhan sejak PICK dilancarkan pada Februari lalu adalah sebanyak 45,204,479 dos.
Dalam pada itu, sejumlah 132 kes kematian dilaporkan semalam dengan hanya satu kematian membabitkan pesakit COVID-19 di hospital kerajaan semalam dan bakinya adalah kes kematian tertunggak.
Kumulatif angka korban di negara ini kini berjumlah 27,113 kes dengan seramai 5,450 pesakit COVID-19 meninggal dunia sebelum sempat menerima bantuan perubatan.