8 OKT: Vaksin Cormirnaty keluaran Pfizer diberi kelulusan bersyarat sebagai dos penggalak pertama untuk memerangi COVID-19 di negara ini.
Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) yang bersidang hari ini, memberi kelulusan bersyarat vaksin Cormirnaty keluaran Pfizer Manufacturing Belgium (NV) dan Biontech Manufacturing GmbH, Jerman itu sekurang-kurangnya selepas enam bulan dos kedua kepada individu berusia 18 tahun ke atas.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata vaksin Comirnaty sebelum ini sudah diluluskan pendaftaran bersyarat bagi penggunaan dalam kalangan individu berusia 12 tahun dan ke atas pada 15 Jun lalu.
“Ini adalah vaksin COVID-19 pertama yang diluluskan bagi penggunaan dos penggalak di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, kelulusan pendaftaran bersyarat itu memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin berkenaan dipantau serta dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.
“Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi vaksin berkenaan kekal positif.
“KKM juga sentiasa komited dalam mempertingkatkan akses kepada produk vaksin COVID-19 di Malaysia, dengan memastikan ia dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan Kementerian Kesihatan (KKM) bersedia memulakan pemberian dos ketiga atau dos penggalak vaksin COVID-19 kepada orang awam mulai awal Oktober.