8 OKT: Harga siling borong dan runcit baharu bagi kit ujian pantas RTK-Ag Saliva COVID-19 (ujian kendiri) akan diumumkan kerajaan, pada bulan depan.
Berikutan itu,Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pihaknya sedang membuat penilaian di peringkat industri sebelum menentukan harga siling borong dan runcit baharu bagi kit berkenaan.
Alexander berkata kerajaan telah menerima maklum balas daripada industri berhubung paras harga yang wajar dipertimbangkan supaya dapat menjamin bekalan yang mencukupi dan berterusan.
“Kementerian juga sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membolehkan lebih banyak premis menjual kit berkenaan di pasar raya, yang dijangka dapat dilaksanakan menjelang akhir bulan ini.
“Kita juga akan memantau harga dan persaingan kesan daripada peluasan penjualan kit ujian pantas antigen COVID-19 selain daripada farmasi dan klinik.
Justeru, mengambil kira semangat Keluarga Malaysia dan kepentingan kit ujian itu kepada masyarakat, KPDNHEP amat menggalakkan supaya peniaga menawarkan harga yang lebih rendah dan munasabah tanpa kerajaan menentukan paras harga yang baharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, kerajaan menetapkan harga runcit maksimum bagi kit ujian pantas antigen COVID-19 (ujian kendiri) pada RM19.90 bagi setiap set manakala harga borong ditetapkan RM16 satu set, berkuat kuasa 5 Sept.
Semalam Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata harga siling kit ujian pantas antigen COVID-19 akan diturunkan tidak lama lagi, sebagai galakan untuk orang ramai membuat pemeriksaan sendiri setelah kebenaran rentas negeri dibenarkan.