8 OKT: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Kota Melaka memohon maaf kepada pengundi di Teluk Emas selepas tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Noor Effandi Ahmad menarik sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Sulaiman Ali.
BERSATU Bahagian Kota Melaka menerusi kenyataan media memaklumkan, tindakan Noor Effandi yang merupakan ahli parti tersebut telah menyebabkan Kerajaan Negeri Melaka tumbang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) terbubar.
“Tindakan tidak matang serta tidak bertanggungjawab ini adalah kerana cetek pemikiran serta kurang berpengalaman di dalam politik sekali gus menggambarkan sifat sebenar beliau selama ini.
“BERSATU Bahagian Kota Melaka berjanji akan terus berkhidmat dan menjalankan tugas untuk memastikan kebajikan serta permasalahan masyarakat di DUN Telok Mas akan terus terbela,” katanya.
Selain Noor Effandi, tiga lagi yang menarik sokongan adalah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), ADUN BN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan, dan ADUN Bebas Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee.
Perkembangan itu secara teknikal menyaksikan Kerajaan Melaka tumbang kerana hilang majoriti sokongan.
DUN Melaka mempunyai 28 kerusi dengan 14 kerusi bawah BN, BERSATU (2), DAP (7), PKR (2), AMANAH (2) dan Bebas (1).
Dalam pada itu, BERSATU Bahagian Kota Melaka juga akan membuka Pusat Khidmat Masyarakat DUN Telok Mas dengan segera bagi memastikan aduan dan permasalahan masyarakat dapat ditangani dengan tuntas.
“Bagi memastikan hal ehwal pengurusan pusat khidmat dapat dijalankan, Datuk Hishamuddin Abdul Karim selaku Ketua Bahagian BERSATU Kota Melaka serta Setiausaha Penyelaras BERSATU DUN Telok Mas, Mohd Farid Mohd Zaki akan bertanggungjawab untuk menyelaras semua urusan pentadbiran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Telok MAS,” katanya.