PH tidak restu Norhizam hantar memo kepada Istana Negara
8 OKT: Pakatan Harapan (PH) tidak sepakat mengenai tindakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee menghantar memorandum bagi meminta Yang di-Pertuan Agong campur tangan dalam isu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, baru-baru ini.
Ini terbukti apabila bekas ADUN DAP-Kota Laksamana, Low Chee Leong yang menegaskan bahawa tindakan Norhizam berkenaan tidak mendapat restu 11 wakil rakyat PH lain.
Malah, keputusan menghantar warkah ke Istana Negara bagi memohon campur tangan Yang di-Pertuan Agong dalam urusan pembubaran DUN Melaka tidak pernah dibincangkan bersama 11 bekas ADUN PH.
Chee Leong berkata, tindakan bekas ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee kononnya mewakili semua ADUN PH juga tidak boleh diterima.
“Dalam pertemuan bersama 11 ADUN PH, tidak pernah dibangkitkan atau membincang isu untuk menghantar apa-apa surat kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Norhizam telah memperalatkan PH untuk diri sendiri dan beliau tidak boleh mewakili saya sebagai salah seorang ADUN PH tanpa pengetahuan dan keizinan saya.
“Saya juga tidak bersetuju proses menghantar warkah itu diwakili oleh beliau yang mana ia hanya merendahkan nama baik PH.
Semalam, bekas Ketua Pembangkang Melaka, Adly Zahari memohon Pemangku Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk campur tangan dalam urusan pembubaran DUN Melaka.
Menerusi warkah yang disampaikan oleh Norhizam kepada wakil Istana Negara, beliau berkata, berdasarkan Perkara 8.2 (b) Perlembagaan Negeri Melaka, Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam tidak mempunyai budi bicara bagi membubarkan DUN ke-14.
Norhizam bersama bekas ADUN Telok Mas, Datuk Nor Effandi Ahmad mewakili 15 bekas ADUN Melaka, termasuk Adly, menyampaikan warkah tersebut kepada wakil Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada Khamis.