8 OKT: Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron sudah memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan membabitkan penyelewengan royalti projek tambakan laut.
Pengarah SPRM Melaka, Mohd Shahril Che Saad mengesahkan bahawa pihaknya mengambil masa dua jam untuk merakam keterangan Idris di satu lokasi di Melaka Tengah, petang semalam.
Mohd Shahril berkata, maklumat berkenaan telah direkodkan dan dihantar ke ibu pejabat untuk dianalisa sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
“Saya mengesahkan bahawa kita telah berjumpa dengan pihak beliau (Idris) dan sudah mengambil beberapa maklumat untuk diperincikan oleh pihak ibu pejabat.
“Setakat ini tidak ada lagi (dokumen) diambil, kita hanya berjumpa untuk mendapatkan keterangan yang mana seperti beliau kemukakan kepada pihak media sebelum ini,” katanya ketika ditemui media di Melaka hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Idris mendakwa terdapat pemimpin UMNO di Melaka membolot projek ekonomi dan menipu Kerajaan Persekutuan berkaitan royalti pasir yang menyebabkan beliau menarik sokongan terhadap Kerajaan Negeri.
Berikutan itu SPRM dalam reaksi segera turut memaklumkan memandang serius dakwaan Idris dan akan menghantar pegawai untuk bertemu dengan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang itu bagi mendapatkan maklumat lanjut.
SPRM juga meminta mana-mana pihak yang memiliki maklumat atau bukti salah laku rasuah dan penyelewengan berhubung isu berkenaan diminta tampil untuk memberi kerjasama.