8 OKT : Pemangku Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzudin Shah hanya boleh membuat keputusan berhubung pengiystiharan darurat bagi menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) sekiranya dinasihati kerajaan untuk berbuat demikian.
Kini, bergantung kepada kerajaan sama ada mahu menasihati Timbalan Yang Dipertuan Agong atau tidak berhubung soal itu.
Menurut Pakar Undang-undang dan Perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar, namun jika kerajaan merasakan bahawa PRN boleh dilaksanakan, maka tidak perlulah kerajaan menasihati Timbalan Yang Dipertuan Agong untuk melaksanakan darurat.
“Jadi, ini bergantung kepada keputusan barisan kabinet dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri untuk menasihati Timbalan Yang Dipertuan Agong berhubung perkara ini.
“Saya juga yakin kerajaan akan meminta pelbagai pendapat dan pandangan daripada pakar kesihatan awam, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sebelum membuat keputusan bagi mempertimbangkan baik buruknya diadakan pilihanraya dalam keadaan pada masa ini,” katanya kepada PNBBC Portal ketika dihubungi hari ini.
Ismail Sabri hari ini memaklumkan, keputusan sama ada kerajaan akan menasihatkan Sultan Nazrin untuk mengisytiharkan darurat di Melaka bagi menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) bakal diketahui pada minggu depan
Sementara itu, menjawab siapakah yang layak menjadi kerajaan ‘caretaker’ jika proklamasi darurat dilaksanakan, Dr Khairil Azmin memaklumkan kerajaan sedia ada boleh memimpin sementara kerajaan negeri Melaka sehingga PRN boleh dilaksanakan.
Jelasnya, walaupun kerajaan ‘caretaker’ tidak terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan atau mana-mana undang-undang di negara ini, namun ia merupakan amalan serta kelaziman menerusi konvensyen perlembagaan.
“Jadi, biasanya kalau diikutkan secara konvensyen, maka Datuk Seri Dr Sulaiman Ali dan exconya boleh dilantik semula menjadi kerajaan ‘caretaker’, namun kuasanya amat terhad di mana dia tidak lagi boleh buat keputusan melibatkan kewangan mahupun perubahan politik.
“Keadaan di Melaka sangat berbeza kerana ianya berlaku ketika kerajaan telah menamatkan darurat. Jadi, mengikut konvensyen perlembagaan atau amalan perlembagaan, maka kerajaan dahulu akan menjadi kerajaan caretaker walaupun dalam perlembagaan tidak dinyatakan dengan jelas tentang perkara itu,”katanya.
Terdahulu, Sulaiman memohon membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuat kuasa 4 Oktober lalu selepas beliau hilang majoriti sokongan, susulan tindakan empat ADUN daripada blok kerajaan menarik sokongan terhadap kepemimpinannya.
Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam kemudiannya telah memperkenan permohonan pembubaran DUN.
Mengikut Perlembagaan negeri, PRN perlu dilaksanakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.
Isnin lalu, kerajaan Melaka runtuh apabila ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron; ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee ; ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan dan ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad telah menarik sokongan terhadap Sulaiman. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH