Susulan pelantikan Danesh Raj Nagarajan selaku Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaya (UM), terdapat beberapa dakwaan tidak benar yang telah menyatakan dan juga memberi gambaran bahawa pelantikan tersebut adalah hasil daripada campur tangan Datuk Seri Azalina Othman Said selaku majikan semasa kepada Danesh Raj.
Sehubungan itu, di sini ingin dimaklumkan bahawa Datuk Seri Azalina Othman Said bukan sahaja tidak terlibat dengan pelantikan Danesh Raj ini, malah pelantikan ini adalah di luar pengetahuan beliau sama-sekali.
Beliau hanya mengetahui mengenai pelantikan Danesh Raj pada 5 Oktober 2021 (Selasa) melalui poster ucapan tahniah oleh UM yang dikongsi dan ditularkan melalui aplikasi Whatsapp.
Selain itu, semasa proses lantikan Danesh Raj sebagai Ahli Lembaga Pengarah UM, jawatan Danesh Raj bukanlah sebagai Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Pengerang seperti yang digembar-gemburkan, tetapi bertugas sebagai Pegawai Media Sosial yang mengendalikan urusan berkaitan akaun rasmi media sosial beliau.
Pejabat ini yakin bahawa pelantikan Danesh Raj telah berjalan secara adil dan saksama serta berselaras dengan prinsip kesamarataan dan tidak mendiskriminasi seperti yang ditermaktub di bawah Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Pejabat ini juga tidak mendapat makluman dari mana-mana pihak mengenai pelantikan ini.
Bagaimana pun, Menteri Pengajian Tinggi ada menyebut di dalam Dewan Rakyat bahawa pelantikan Danesh Raj adalah atas kapasiti sebagai Alumni UM, yang pastinya telah mengambil kira pencapaian akademik dan tahap disiplin, serta penglibatan aktif dalam program-program dan aktiviti-aktiviti sepanjang bergelar mahasiswa UM dan seterusnya sebagai alumni UM sehingga sekarang.
Selain daripada itu, kenyataan Menteri Pengajian Tinggi turut menyatakan bahawa pelantikan Danesh Raj juga adalah keputusan Kementerian Pengajian Tinggi yang ingin melihat sumbangan anak muda dalam kepimpinan organisasi di peringkat nasional, terutamanya di universiti awam.
Pejabat ini mengalu-alukan pelantikan yang dibuat tanpa sebarang campur tangan dan hanya berdasarkan kelayakan, kebolehan serta potensi sebagai graduan dan alumni.
Akhir sekali, atas semangat kebersamaan dan Keluarga Malaysia sudah tiba masanya agar anak-anak muda di luar sana diberi lebih kepercayaan dan penghargaan tanpa mengira latar belakang kaum dan ideologi.
PEJABAT AHLI PARLIMEN PENGERANG
8 OKTOBER 2021