9 OKT: Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menafikan beliau terbabit dengan mana-mana penubuhan sebuah parti politik baharu.
Mohamed Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (AMPT) BERSATU itu berkata, desas-desus atau sebarang berita yang mengaitkan namanya dengan perkara itu adalah tidak benar.
“Tidak benar sama sekali,” katanya ringkas kepada wartawan selepas merasmikan Dewan Terbuka Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Ahmad Razali dan penyerahan bantuan kepada penduduk setempat di sini, hari ini.
Sebelum ini, laporan media memetik sumber, melaporkan sebuah parti politik baharu yang bakal diterajui ‘kenalan rapat’ kepada Mohamed Azmin iaitu Datuk Zuraida Kamaruddin yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, akan ditubuhkan.
Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang adalah AMPT BERSATU sama seperti Mohamed Azmin.
Memetik laporan itu, parti politik baharu berkenaan terbuka menerima keahlian pelbagai kaum.