9 OKT : Rakyat Kelantan diperantauan yang masih belum lengkap vaksinasi dinasihatkan agar tidak pulang ke kampung apabila aktiviti rentas negeri dibenarkan tidak lama lagi.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, beliau memahami perasaan rindu berjumpa dengan ibu bapa, keluarga dan saudara mara, namun apa yang lebih penting menurutnyaa adalah melengkapkan terlebih dahulu dua dos suntikan vaksin.
“Saya sarankan mana-mana individu yang ingin melakukan saringan melalui kit ujian kendiri COVID-19 sebelum pulang selain memastikan tidak bergejala.
“Sekiranya bergejala, saya mohon jangan balik lagi dan bertenang dahulu serta patuh prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mencegah penularan pandemik COVID-19,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Kelantan di Kompleks Belia Dan Sukan Negeri Kelantan, Panji, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, kadar vaksinasi di Kelantan masih rendah disebabkan ramai rakyat negeri itu berada di luar tetapi beralamat di Kelantan.
“Jadi ini yang mungkin menyebabkan kadar vaksinasi di Kelantan tidak sepantas negeri-negeri lain sedangkan kita sebenarnya sudah berusaha memberi suntikan vaksin kepada rakyat di negeri ini melalui program Outreach dan juga Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
“Sehingga hari ini, kita sudah mencapai 79 peratus kadar vaksinasi dan ini bermakna hasrat dan sasaran kerajaan untuk mendapatkan 80 peratus kadar vaksinasi pada pertengahan Oktober ini akan dapat dicapai,” jelasnya.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Roslan Wan Hamat, berkata Kementerian Belia dan Sukan sudah meluluskan peruntukan bagi penambahbaikan lokasi pertandingan Sukan Malaysia (SUKMA) Kelantan pada 2026.
“Insya-Allah apabila pandemik COVID-19 semakin reda, kita akan membaiki tempat yang disenaraikan untuk dijadikan lokasi pertandingan SUKMA tidak lama lagi,” katanya.