11 OKT : Sebanyak 83 peratus penuntut institut pengajian tinggi (IPT) dan 90 peratus kakitangannya telah menerima dua dos lengkap vaksin Covid-19.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, IPT tidak adakan ditutup jika terdapat kes COVID-19, sebaliknya menangguhkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) pelajar untuk sementara.
Menurut beliau, bagi mengurangkan risiko jangkitan sekiranya ada, pelajar kontak rapat, kita akan letakkan di pusat pengasingan atau kuarantin yang disediakan di IPT berkenaan.
“Kita ada 1.15 juta pelajar. Apabila pelajar mula memasuki kampus secara berperingkat 15 Oktober ini, mereka akan disaring dengan kit ujian kendiri untuk memantau dan mengekang penularan wabak walaupun sudah menerima dos lengkap. Saringan akan dibuat secara berkala.
“Operasi (universiti) tidak akan ditutup. Aktiviti bersemuka akan ditangguh. Jadi ada dua cara pengajaran dan pembelajaran (PdP) iaitu satu bersemuka dan dalam talian serta hibrid.
“Kalau sekiranya IPT merekodkan kes jangkitan lebih serius, penutupan institusi akan dipertimbangkan berdasarkan saranan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya pada sesi pertanyaam jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen PH Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir meminta kerajaan menjelaskan tentang perkembangan program vaksinasi khususnya dalam kalangan mahasiswa serta strategi mengekang penularan Covid-19 di IPT.