11 OKT: Bahasa Melayu kekal menjadi bahasa pengantar utama di sekolah dan institusi pendidikan tinggi di Malaysia ketika ini.
Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin, berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) masih mengekalkan dasar sedia ada berdasarkan Seksyen 17 Akta Pendidikan 1996.
Berikutan itu, Bahasa Kebangsaan menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali di sekolah jenis kebangsaan (SJK) yang ditubuhkan di bawah Seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri daripada sub-seksyen ini.
“Jika bahasa pengantar utama di sesuatu institusi pendidikan adalah selain bahasa kebangsaan, bahasa kebangsaan hendaklah diajarkan sebagai mata pelajaran wajib di institusi pendidikan itu.
“Bagi memastikan murid fasih berbahasa Melayu, KPM melaksanakan Pelan Hala Tuju Memartabatkan Pendidikan Bahasa Melayu 2016-2025 melalui strategi pemerkasaan bahasa Melayu bagi memastikan murid di institusi KPM menguasai bahasa Melayu.
“Institusi pendidikan swasta yang berdaftar dengan KPM juga digalakkan untuk melaksanakan strategi pemerkasaan bahasa Melayu dalam pelan hala tuju tersebut,” katanya ketika menjawab soalan di sesi jawab lisan di Parlimen sebentar tadi.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen BN-Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah yang meminta menteri berkenaan menyatakan sejauh mana perancangan KPM dalam meneruskan usaha untuk melaksanakan hanya satu aliran sekolah sahaja iaitu Sekolah Kebangsaan bagi memastikan tiada lagi masyarakat di dalam negara yang tidak fasih berbahasa Malaysia.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata Pelan Hala Tuju Pendidikan Bahasa Melayu 2016-2025 KPM menyenaraikan sembilan (9) strategi memartabatkan pendidikan bahasa Melayu termasuk dengan memperkukuh penggunaan bahasa Melayu Standard; memperkasakan kurikulum bahasa Melayu; memperkasakan Kesusasteraan Melayu; memperkasakan pentaksiran Bahasa Melayu.
Selain itu, KPM juga akan memperkukuh Bahasa Melayu dalam Kokurikulum; meningkatkan keterampilan berbahasa guru Bahasa Melayu dan menaik taraf Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu Sebagai Peneraju Kecemerlangan Pembangunan Profesionalisme Guru Bahasa Melayu, serta memperluas jalinan dan jaringan memartabatkan bahasa Melayu selain memperkaya khazanah ilmu dalam Bahasa Melayu.
“Walaupun terdapat pelbagai aliran sekolah iaitu SJCK dan SJKT, namun murid-murid di sekolah aliran ini masih dapat menguasai BM dengan baik. Contohnya, Yang Berhormat di luar sana, ramai yang mampu berbahasa Melayu walaupun mereka berbangsa Tionghua ataupun berbangsa India.
“Dalam dewan yang mulia ini, ada beberapa Yang Berhormat sangat fasih berbahasa Melayu. Contohnya Yang
Berhormat Ayer Hitam, Menteri Pengangkutan. Cukup baik bahasa Melayunya. Sama juga dengan Timbalan Menteri Kementerian Pendidikan Malaysia. Cukup fasih dalam bahasa Melayu.
“Oleh yang demikian, Tuan Yang di-Pertua, tahap penguasaan Bahasa Melayu sebenarnya bergantung kepada sikap terhadap amalan penggunaan bahasa berkenaan,” kataya.