11 OKT: Kerajaan tidak bercadang meningkatkan had statutori hutang kepada melebihi 65 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dalam masa terdekat.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata kerajaan perlu mengambil pendekatan lebih bertanggungjawab dan berhemah dalam melaksanakan peningkatan perbelanjaan secara sementara.
Katanya lagi, Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) (Pindaan) 2021 (Akta 830) mempunyai kuasa terhad sehingga akhir tahun 2022.
“Kalau ikut Akta 830 tempoh kuatkuasanya adalah sehingga 31 Disember 2021 sahaja maka selepas itu had statutori hutang negara kepada KDNK akan kembali semula kepada 60 peratus sahaja seperti ditetapkan Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 dan Akta Pendanaan Kerajaan 1983 (Akta 275).
“Justeru, walaupun Ahli Parlimen Baling ada mencadangkan supaya kerajaan menaikkan had statutori hutang kepada 70 peratus atau ke atas KDNK namun buat masa ini kita tidak akan berbuat demikian.
“Sebahagian besar pertambahan RM45 bilion ini akan digunakan untuk menyalurkan bantuan PRIHATIN dan bantuan sosial kepada rakyat terutama B40, tambahan subsidi upah dan insentif bagi mengekalkan dan menambah bilangan peluang pekerjaan dalam kalangan rakyat terkesan akibat COVID-19,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan RUU Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan bagi menangani COVID-19 di Parlimen hari ini.
Terdahulu, Kerajaan hari ini membentangkan cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) (Pindaan) 2021.
Tengku Zafrul ketika membentangkan RUU berkata tindanan berkenaan perlu bagi memperoleh kelulusan untuk meningkatkan had siling perbelanjaan di bawah Kumpulan Wang COVID-19 (KWC-19) daripada RM65 bilion kepada RM110 bilion.
Beliau berkata pindaan berkenaan juga bagi membolehkan had statutori hutang semasa Malaysia dinaikkan daripada 60 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) kepada 65 peratus.
Menjawab mengenai Pandora Papers, Tengku Zafrul berkata pemantau berterusan terhadap aktiviti akaun luar pesisir sentiasa dibuat oleh pelbagai agensi penguatkuasa mengikut Akta Penggubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram (AMLA).
Beliau berkata ini merangkumi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Jadi jika ada sebarang aduan dan dakwaan perlu disiasat Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai pihak berkuasa berwibawa di bawah AMLA sentiasa bersedia bekerjasama dan memberikan sokongan kepada agensi berkenaan.
“Institusi pelapor adalah disenaraikan dalam jadual pertama AMLA dikawal selia, BNM dan Labuan Financial Services Authority (Labuan FSA) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia yang perlu mematuhi CFT dan AML sebagai obligasi termasuk menjalankan ketekunan wajar pelanggan dan memfailkan suspicious transaction report (STR) atau Cash Tranfer Report’ apabila terdapat tanda-tanda mencurigakan dalam setiap transaksi,” katanya.